TOLAK PAKATAN PEMBANGKANG DEMI ISLAM

Posted by Kerah Lekung on Wednesday, 25 April 2018

TOLAK PAKATAN PEMBANGKANG DEMI ISLAM.
Ketika DAP dilihat lebih mendominasi kedudukan dalam gabungan pembangkang PKR, masyarakat Melayu dan Islam di negara ini dinasihatkan menolak gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) demi kesejahteraan umat.

Pengerusi Persatuan Pondok Kedah, Sabri Osman berkata, dalam apa sahaja gabungan yang dibentuk pembangkang bersama DAP mereka gagal memperjuangkan isu-isu yang mengganggu gugat kedudukan Islam dan keharmonian hidup bermasyarakat misalnya berhubung isu penggunaan kalimah Allah serta pesta arak di Selangor.

“Sama ada Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau apa juga nama yang digunakan parti-parti pembangkang untuk bersekongkol dengan DAP, saya lihat mereka gagal untuk menjuarai isu-isu berkaitan Melayu dan Islam.

“Ketika golongan ‘Islam Libe­ral’ serta Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) berani menyuarakan perjuangan mereka, pemimpin pembangkang gagal menunjukkan penentangan. Apa sebabnya?” katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Beliau yang merupakan penga­sas serta Mudir Madrasah al-Ulum Ad-diniah al-Usmaniah, Pondok Tanjung Kapur, Jitra, berkata, umat Islam perlu mengambil kira perkara berkenaan supaya tidak dikaburi ‘wayang’ yang dimainkan pembangkang ketika setiap parti termasuk DAP bertanding di bawah lambang PKR.

“Perlu diingat, suara Pas yang bertunjangkan Islam pun tidak dipedulikan ketika mereka membentuk gabungan pembangkang satu masa dulu. Inikan pula kita hendak mengharapkan PAN dan PKR,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang dulunya cukup dikenali sebagai penyokong tegar Pas sebelum parti itu bersekongkol dengan DAP berkata, setakat ini tiada parti yang dilihat cukup ampuh untuk mendepani DAP melainkan BN.

“Ketika parti-parti dalam gabungan pembangkang PKR tunduk dan hanya mengikut kata DAP, saya fikir tiada parti lain yang lebih besar daripada BN mampu berlawan dengan mereka. Saya andaikan DAP ibarat harimau dan BN ibarat gajah yang mampu menundukkan mereka.

“Pas tidak akan mampu membendung DAP kerana kekuatan mereka tidak cukup ampuh. Kalau tak mahu bersatu dengan ‘gajah’ itu pun, duduklah diam-diam di belakangnya tanpa cuba menggigit ekor gajah tersebut demi nasib umat Melayu dan Islam,” katanya.

Sumber asal: TOLAK PAKATAN PEMBANGKANG DEMI ISLAM

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment