BN akan capai keputusan lebih baik daripada PRU13 - Najib

Posted by Kerah Lekung on Friday, 27 April 2018

BN akan capai keputusan lebih baik daripada PRU13 - Najib.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjangka Barisan Nasional (BN) akan mencapai 'keputusan lebih baik' pada pilihan raya umum 9 Mei ini berbanding pencapaiannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dalam wawancara dengan Bloomberg, pengerusi BN itu berkata perasaan optimis beliau itu adalah berdasarkan beberapa perkara, termasuk ketidakmampuan pakatan longgar pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan dan tidak wujudnya gerakan untuk menukar kerajaan.

"Kami cukup yakin akan meraih keputusan yang baik. Tidak ada gerakan untuk menukar kerajaan, saya sendiri tidak nampak wujudnya perkara itu.

"Saya tidaklah berkata kami akan menang dengan majoriti besar, tidak, saya tidak mahu meramalkan begitu, tapi saya ingin mengatakan bahawa kami cukup yakin tentang keputusannya nanti," kata Najib dalam wawancara itu, yang merupakan temu bual pertama beliau dengan media asing sejak lebih tiga tahun lepas.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), yang disifatkan sebagai "bapa segala pilihan raya", dijangka menyaksikan pertarungan paling sengit antara parti pemerintah dan pembangkang dalam sejarah pilihan raya umum di negara ini.

Najib berkata keyakinan beliau itu juga adalah berlandaskan apa yang beliau sebut sebagai kehadiran 'sebuah gabungan parti beraneka ragam' yang membentuk Pakatan Harapan dengan diterajui bekas perdana menteri yang sudah berusia 92 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib dipetik sebagai berkata beliau tidak nampak bagaimana pelbagai parti yang membentuk pakatan itu akan mampu untuk bekerjasama.

Dalam wawancara itu, Najib juga meramalkan Pakatan Harapan terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan undi, setelah mereka berpatah arang dengan PAS, parti yang membantu mereka pada PRU13, manakala pengundi bandar dan Cina, yang mengundi pada pilihan raya umum lepas dengan harapan untuk membawa perubahan, kini didapati sudah kurang bersemangat ke arah itu.

"Ya, sekarang, mereka sedar bahawa perkara itu mustahil akan berlaku. Oleh itu, saya berpendapat euforia sedemikian sudah berkurangan dengan cukup ketara," katanya.

Najib berkata beliau juga berusaha untuk memperkukuhkan UMNO dari dalam selepas memecat bekas timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan beberapa yang lain berhubung isu 1MDB.

"Saya percaya tentang perlunya mengukuhkan hubungan peribadi dalam parti, maka apabila berdepan dengan detik-detik menyukarkan, parti akan berdiri teguh bersama saya. Mereka tidak dapat menggoncang saya, asas sokongan berada dalam keadaan kukuh," katanya.

Beliau juga berkata IMDB melibatkan isu tadbir urus dan sekali gus menegaskan: "Ia sudah dibersihkan, tidak berlaku sebarang penyelewengan dan saya berpegang dengan pendirian itu".

Menyentuh tentang perselisihan faham antara beliau dengan Dr Mahathir, yang antara lain menuduh beliau mengubah sempadan kawasan pilihan raya untuk memberi keuntungan kepada parti pemerintah, Najib berkata Dr Mahathir juga telah beberapa kali mengubah sempadan daerah, tetapi perubahan terbaru yang dilaksanakan itu 'mengambil kira beberapa perubahan demografi.'

"Saya berpendapat beliau begitu ghairah untuk mengawal, berkuasa dan malah, semasa kami agak rapat dulu, beliau pernah mengesyorkan tentang penubuhan 'Council of Elders'.

"Sudah tentu anda dapat mengagak siapakah yang akan mempengerusikan majlis itu dan saya rasa, sebagai pardana menteri, setiap kali selepas mesyuarat Kabinet, saya terpaksa bergegas ke bilik beliau untuk mendapatkan persetujuan. Beliau mahu saya mengusahakan perkara itu," kata Najib dalam wawancara berkenaan.

Sumber asal: BN akan capai keputusan lebih baik daripada PRU13 - Najib

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment