PM Najib Harap Rakyat Tidak Terpengaruh Dengan #TsunamiPHitnah

Posted by Kerah Lekung on Sunday, 29 April 2018

PM Najib Harap Rakyat Tidak Terpengaruh Dengan #TsunamiPHitnah.
Taktik #TsunamiPHitnah yang sedang dilaksanakn oleh Pakatan Harapan (PH) sekarang adalah untuk mempengaruhi minda pengundi untuk menimbulkan kebencian mereka kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan taktik itu yang kini menjadi sandaran utama pembangkang sepanjang kempen untuk PRU14 kali ini.

Beliau berkata pembangkang tidak mempunyai agenda yang besar untuk rakyat, kecuali untuk menjatuhkan beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Najib turut menunjukkan gambar beliau antaranya bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar ketika melihat model replika projek Taman Tugu yang diubah.

Katanya, gambar tersebut diubah dengan beliau kononnya melihat dan mengira wang yang berada di atas meja.

“Janganlah percaya dengan berita-berita atau gambar seperti ini dalam media sosial sebab mereka (pembangkang) akan lakukan sebanyak mungkin fitnah,” katanya.

Pengerusi BN itu berkata pilihan raya sepatutnya menjadi pertandingan mengenai agenda untuk rakyat dan negara.

“Maknanya kita kena pilih mana satu agenda yang terbaik untuk negara dan rakyat, kenapa kita perlu beralih kepada semua ini (fitnah).”

“Sebab apabila menggunakan ini (fitnah), maknanya anda sudah mempertimbangkan hakikat bahawa agenda anda untuk negara ini kurang baik, tak boleh mengatasi agenda BN untuk rakyat dan negara. Anda sangat terdesak untuk terlibat dalam politik murahan,” katanya.

Najib menegaskan pilihan raya ini perlu menjadi pertarungan yang adil berdasarkan amalan demokrasi untuk memilih kerajaan berwibawa yang melaksanakan dasar dan idea mereka.

Ditanya apa yang boleh dilakukan terhadap mereka yang membuat fitnah tersebut, Najib berkata “kita boleh ambil tindakan tetapi mereka akan tuduh kita gunakan kekuasaan keterlaluan,” katanya.

Justeru, beliau berkata rakyat perlu memeriksa fakta sebelum membuat sesuatu kesimpulan.

Katanya rakyat juga perlu membuat pilihan dengan tepat dengan mengambil kira hasil terhadap pilihan yang dibuat pada pilihan raya umum lepas.

“Kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor setelah memerintah selama 10 tahun telah gagal memenuhi janji dan harapan yang mereka laungkan kepada rakyat,” katanya.

Perdana menteri turut optimistik BN akan terus mendapat mandat rakyat pada PRU14 nanti.

“Saya optimistik kita boleh lakukan dengan lebih baik, tetapi saya tidak mahu menyatakan kita akan menang besar. Saya hanya ingin menyebut kita akan mendapat mandat daripada rakyat dan saya mengharapkan kemenangan yang besar bagi BN,” katanya.

Pengerusi BN itu berkata kemenangan BN akan mengekalkan kerajaan yang stabil dan kuat serta membawa keyakinan khususnya dalam sektor ekonomi.

“Ini akan mewujudkan lebih keyakinan dan pasaran global akan memberi respons yang sangat positif. Saya fikir anda akan bercakap tentang bursa saham, pasaran ekuiti, pelaburan asing dan sekuriti,” katanya.

Ditanya kononnya akan berlaku tsunami Melayu, Najib berkata: “Pilihan raya sebelum ini mereka uar-uarkan slogan ‘ini kalilah’. Kita tak naklah pengundi ini tertipu sekali lagi, banyak kali dah mereka tertipu tiap-tiap kali pilihan raya mereka akan uar-uarkan slogan untuk meraih sokongan rakyat.

“Pilihan raya ini bukan soal slogan sahaja. Ia tentang agenda, fokus kepada agenda apa nak dibuat untuk rakyat. Berjuang atas dasar itu,” katanya.

Bagaimanapun, Najib menyifatkan kempen yang lebih berhemah daripada PAS sebagai persaingan sihat dalam konteks demokrasi.

Sumber asal: PM Najib Harap Rakyat Tidak Terpengaruh Dengan #TsunamiPHitnah

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment