PEMBANGKANG ‘SEMBUNYI DIRI’ TAK MAHU DENGAR CERAMAH ARUL KANDA TENTANG 1MDB

Posted by Kerah Lekung on Friday, 27 April 2018

PEMBANGKANG ‘SEMBUNYI DIRI’ TAK MAHU DENGAR CERAMAH ARUL KANDA TENTANG 1MDB.
Sejak pemimpin DAP Dr. Tan Seng Giaw mempertahankan kenyataannya bahawa tiada bukti Datuk Seri Najib Razak terbabit dalam isu IMDB, pemimpin pembangkang semakin takut untuk berdepan dengan kebenaran.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, membidas sikap pemimpin pembangkang yang kuat mengkritik syarikat pelaburan strategik negara itu tetapi gagal hadir dalam sesi ceramah dan penerangan meskipun dianjurkan di kubu kuat mereka.

Arul Kanda berkata, walaupun beliau sedaya upaya bersikap terbuka atas prinsip ‘berani kerana benar’ dengan menerangkan segala keraguan berhubung isu membabitkan 1MDB menerusi program penerangan terutama di kawasan dikuasai parti pembangkang, kelibat pemimpinnya tidak juga kelihatan.

“Saya amat terkilan malam ini (malam tadi) kerana pemimpin pembangkang yang begitu kuat mengkritik 1MDB seperti Hannah Yeoh (Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor daripada DAP) tidak pula datang. Kenapa tidak datang ke sini, ke kubu kamu sendiri.

“Nampak sangat mereka tidak mempunyai minda yang terbuka untuk mengetahui isu sebenar mengenai 1MDB. Ceramah-ceramah ini dianjurkan oleh NGO, bukan parti politik.

“Saya bukan ahli politik. Tetapi saya bertanggungjawab sebagai pegawai syarikat milik penuh kerajaan ini untuk memberi maklumat pada rakyat mengenainya,” katanya seperti dilaporkan portal therakyat.com selepas sesi ceramah dan penerangan mengenai 1MDB dalam program Bicara Subang anjuran Kelab Sahabat N87 di USJ15 dekat Subang, malam tadi.

Mengulas masa depan 1MDB, Arul Kanda menegaskan, sebenarnya apa yang berlaku adalah syarikat pelaburan strategik negara itu menjadi mangsa kerakusan politik oleh pihak yang berkepentingan.

Lebih tepat apabila beliau menyifatkan 1MDB adalah masalah perniagaan yang dipolitikkan, namun menegaskan semua masalah itu sudah diselesaikan melalui pelan rasionalisasi syarikat.

“Masa ini, kita sudah boleh lihat bangunan di TRX (Tun Razak Exchange) yang dah naik, pelaburan dari HSBC, pelaburan syarikat Prudential di mana terbukti bahawa pelaburan antarabangsa mempunyai keyakinan terhadap projek-projek yang dijalankan oleh 1MDB.

“Insya-Allah, jikalau projek-projek itu dijalankan dengan baik, ditadbir urus dengan baik, kesemua hasil dan dana daripada projek itu lebih dari mencukupi untuk bayar balik hutang jangka panjang syarikat,” katanya.

Arul Kanda berkata, siasatan terhadap 1MDB masih berjalan dan mengharap semua pihak faham situasi berkenaan dengan memberi masa kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan mereka sam ada wujud salah laku atau tidak dalam syarikat ini.

Lusa, Arul Kanda akan menghadiri sesi penerangan terbuka mengenai 1MDB di Ampangan, Negeri Sembilan, diikuti program sama di Seksyen 16 dekat Shah Alam, Selangor pada 28 April ini.

Beliau berpuas hati dengan sambutan dan kesanggupan rakyat terhadap sesi penerangan dan ceramah yang dianjurkan sambil meluahkan kelegaan dengan keterbukaan hati rakyat terhadap penjelasannya berhubung isu 1MDB.

Sumber asal: PEMBANGKANG ‘SEMBUNYI DIRI’ TAK MAHU DENGAR CERAMAH ARUL KANDA TENTANG 1MDB

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment