Tun M enggan terima kenyataan CAMM

Posted by Kerah Lekung on Monday, 30 April 2018

Tun M enggan terima kenyataan CAMM.
LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamed hari ini menolak hasil penemuan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM) yang mengenepikan sebarang unsur sabotaj pada pesawat yang sepatutnya digunakan beliau untuk penerbangan ke Langkawi kelmarin.
 
Calon PKR bagi kerusi Parlimen Langkawi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu berkata, beliau tidak dapat menerima kenyataan dibuat CAMM itu, kerana mendakwa ia dibuat tanpa melalui melalui siasatan yang terperinci ke atas pesawat.
 
"Mereka kata ia bukan sabotaj...bagaimana mereka buat kesimpulan sebegitu sedangkan mereka tak buat apa-apa siasatan," katanya kepada pemberita selepas menemui pengundi di pasar awam Kuah, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi CAMM, Datuk Seri Azharuddin A Rahman, mengenai siasatan terhadap dakwaan sabotaj ke atas jet peribadi yang sepatutnya digunakan beliau untuk penerbangan dari Subang ke sini kelmarin.
 
Semalam, Azharuddin berkata, pesawat jenis Bombardier Challenger CL60 yang dikendalikan oleh Vista Jet Limited tidak dapat diterbangkan ekoran masalah teknikal yang kecil dan rutin iaitu kebocoran udara di roda kiri pada muncung pesawat.
 
"Hari ini kami telah melakukan pemeriksaan menyeluruh, termasuk pengesahan dokumentasi, pemeriksaan fizikal terhadap pesawat, dan menemubual juruterbang serta petugas penyelenggaraan pesawat persendirian itu," katanya dalam satu kenyataan.
 
Pemeriksaan terhadap dokumentasi pesawat itu tidak menunjukkan sebarang kecacatan kecuali kebocoran udara di roda kiri yang dicatatkan oleh petugas penyelenggaraan pada 27 April.
 
Kerusi Parlimen Langkawi menyaksikan saingan tiga penjuru apabila penyandang, Datuk Ir Nawawi Ahmad, dari BN dicabar Dr Mahathir yang menggunakan logo PKR dan calon PAS, Zubir Ahmad.
 
Pada PRU-13, Nawawi menang dengan majoriti 11,861 undi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dan calon Bebas, Marina Hussein.

Sumber asal: Tun M enggan terima kenyataan CAMM

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment