DUN Rantau kerusi pertama BN... Tok Mat Hasan menang free

Posted by Kerah Lekung on Saturday, 28 April 2018

DUN Rantau kerusi pertama BN... Tok Mat Hasan menang free.
Macam pesta di Dewan Seri Rembau Negeri Sembilan sebaik pengumuman bahawa calon Barisan Nasional DUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding.
Beliau yang popular dengan panggilan Tok Mat Hasan merupakan satu-satunya calon yang menghantar borang pencalonan.
Ini berikutan calon yang dinamakan PKR, S. Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa bersama pas calon seperti yang disyaratkan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon.
Selain Streram, kedua-dua penyokong dan pencadangnya juga tidak dapat memasuki perkarangan dewan itu kerana tidak mempunyai pas perakuan daripada SPR.
Ini bermakna BN memperolehi kemenangan satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kemenangan itu diisytiharkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos Suyub di pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau di sini.
Pengumuman itu menyaksikan Mohamad, yang juga Pengerusi BN negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRU14, 9 Mei ini, buat penggal keempat sejak 2004.
Pada PRU13 lepas, Mohamad yang juga penyandang kerusi itu menang dengan majoriti 4,613 undi menewaskan Aisah Lamsah daripada PKR.
Terdahulu, suasana agak tegang apabila Streram dan penyokongnya membantah sekatan polis yang tidak membenarkan beliau memasuki pusat penamaan calon, meskipun telah hadir seawal pukul 8 pagi.

Sumber asal: DUN Rantau kerusi pertama BN... Tok Mat Hasan menang free

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment