PRU14: 29 ahli PAS masuk BN di Batu Kurau

Posted by Kerah Lekung on Monday 30 April 2018

PRU14: 29 ahli PAS masuk BN di Batu Kurau.
BATU KURAU:  Seramai 29 ahli PAS di sini mengumumkan keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap parti pembangkang itu dan menyertai Barisan Nasional (BN).

Jurucakap kepada kumpulan bekas ahli PAS berkenaan, Zulkifli Yunus, 59, berkata, mereka membuat keputusan itu kerana yakin hanya BN yang diterajui Umno mampu membela nasib rakyat di kawasan terbabit.

"Saya sudah bersama PAS hampir 18 tahun, malah seluruh anggota keluarga saya adalah pengikut setia PAS.

"Saya akui, kesedaran mulai wujud selepas melihat bagaimana kawasan Parlimen Larut dibangunkan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin sepanjang sepenggal lalu," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang menyertai Umno kepada Hamzah di sini, hari ini.

Seorang lagi bekas ahli PAS, Razali Silah 75, berkata ketika kampung mereka dilanda ribut sehingga mengakibatkan kerosakan rumah penduduk, pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen Larut yang menawarkan pelbagai bantuan kepada mereka.

"Sejak daripada itu, saya melihat corak kepemimpinan Datuk Hamzah yang ikhlas membantu orang kampung tanpa mempersoalkan seseorang itu daripada parti mana," katanya dipetik BH Online.

Sementara itu, Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, berkata tindakan 29 bekas ahli PAS itu membuktikan hanya parti BN yang memperjuangkan nasib rakyat.

"Melihat kepada kecelaruan parti pembangkang untuk memilih pucuk kepemimpinan, ia sudah cukup membuktikan mereka memang tidak pernah sepakat.

"Hanya Umno dan BN yang benar-benar menambat hati rakyat dan memperjuangkan nasib rakyat Malaysia," katanya.

Sumber asal: PRU14: 29 ahli PAS masuk BN di Batu Kurau

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment