SEBAR BERITA PALSU BOLEH DIPENJARA 10 TAHUN, DENDA RM500 RIBU

Posted by Kerah Lekung on Tuesday 27 March 2018

SEBAR BERITA PALSU BOLEH DIPENJARA 10 TAHUN, DENDA RM500 RIBU.
KUALA LUMPUR: Individu yang didapati bersalah menyebar atau menerbit apa-apa berita, maklumat, data atau laporan palsu boleh dikenakan denda RM500,000 atau 10 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Ia merupakan sebahagian daripada 14 fasal yang terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Malah, jika kesalahan itu dilakukan secara berterusan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu.

Menerusi RUU itu juga, mahkamah boleh memerintahkan individu yang disabitkan kesalahan tersebut untuk membuat permohonan maaf kepada orang yang terkesan akibat berita palsu tersebut mengikut cara yang ditentukan mahkamah.

Selain itu, individu yang bersubahat termasuk menyalurkan dana kewangan dan memudahkan penyebaran berita tidak benar tersebut turut boleh dikenakan hukuman sama seperti pesalah.

Sumber asal: SEBAR BERITA PALSU BOLEH DIPENJARA 10 TAHUN, DENDA RM500 RIBU

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment