Ini Kalilah… Kembalikan ‘Katil’ Yang Telah Dipinjamkan Selama Lima Tahun Ini – Ali Rustam

Posted by Kerah Lekung on Thursday, 29 March 2018

Ini Kalilah… Kembalikan ‘Katil’ Yang Telah Dipinjamkan Selama Lima Tahun Ini – Ali Rustam.
BUKIT KATIL, 26 Mac – Kekalahan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam di Parlimen Bukit Katil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu sebenarnya adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

Namun kerana faktor politik fitnah kononnya akan bertukar kerajaan pemerintah maka ramai yang mengambil keputusan untuk mengundi pembangkang.

Akhirnya, keputusan yang salah ini memakan diri pengundi sendiri yang terpaksa menanggung derita dek kerana tersalah pilih.

Begitu juga di Parlimen Bukit Katil yang selama lima tahun dibazirkan kerana ahli Parlimen yang dipilih langsung tidak memberikan perkhidmatan yang baik.

Justeru, pada PRU-14 ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telahpun menyatakan hasrat untuk kembali menguasai Parlimen Bukit Katil. Oleh itu, ikuti wawancara khas UMNO-Online bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bukit Katil Merangkap Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

S: Perdana Menteri telah menyatakan hasrat mahu menang di Parlimen Bukit Katil pada PRU 14 nanti. Jadi bagaimana Tan Sri mahu realisasikan impian ini?

Tan Sri : Jentera BN Bukit Katil sudah bersedia untuk menghadapi PRU-14. Perdana Menteri telah mengingatkan agar kita tidak pijak kaki sendiri. Ini pesanan amat penting, siapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon maka itu wajib sokong. Kalau ada keretakan atau ketidakpuasan hati dalam parti, tidak menyokong calon parti sendiri maka ia boleh menjejaskan kemenangan, tidak kira UMNO, Gerakan MIC, MCA atau MyPPP.

Ini peringatan PM yang jelas untuk pastikan BN merampas kembali Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) yang kita kalah. Kalau ahli parti semua undi calon parti, ini sudah satu kekuatan, ditambah pula dengan para penyokong maka kita akan bertambah kuat. Kedua, kita perlu bekerja keras menemui pengundi, kerja keras ertinya temui pengundi. Kalau buat banyak program tetapi tidak dapt jumpa pengundi yang ramai tidak guna juga.

Kita kena temui pengundi secara berterusan dan ini amat penting, bukan sahaja di Bukit Katil tetapi di semua kawasan. Jadi saya minta jasa baik semua jentera menemui pengundi mengikut PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan cawangan kerana jentera sudah ada nama pengundi dan jika semuanya jumpa pengundi jadi saya percaya kemenangan pada kali ini amat baik untuk BN.

Kita juga tahu, pihak pembangang tidak buat apa-apa dalam tempoh lima tahun mereka diberi peluang. Kita lihat DUN Ayer Keroh dan Bachang pun bergaduh sesama sendiri. Rakyat tidak dapat perkhidmatan yang sepatutnya. Begitu juga dengan DUN Bukit Baru malah di Parlimen ini sendiri mengalami situasi yang sama. Ahli Parlimen selalu hilang dan tidak ada apa yang mereka bantu. Bila dekat pilihan raya baru mereka timbul.

Selain daripada itu, apa yang mereka buat adalah memfitnah, sedangkan orang ramai perlukan pembelaan. Saya lihat faktor ini boleh memberi kelebihan kepada BN. Kalau kita sokong pembangkang pada PRU-14 nanti, lima tahun lagi Bukit Katil ini akan terbiar tanpa ada ‘vision’.

S: Hasil tinjauan yang dibuat oleh team UMNO-Online, pengundi di sini masih mencari pemimpin BN bagi mendapatkan sebarang bantuan. Jadi berapa peratus Tan Sri rasa ini memberi kelebihan kepada kita untuk kembali menawan Bukit Katil?

Tan Sri : Saya nampak sudah sampai 70 peratus… pertama ahli parti semakin bersatu hati terutama dalam UMNO dan parti komponen. Parti komponen pun sudah nampak buat kerja dan ada pergerakan. Memang mereka merasakan kehilangan… lima tahun yang rugi besar.

Pengundi di sini juga merasakan satu kerugian besar jadi saya harap apa yang mereka cakap ini dapat diterjemahkan dalam bentuk undi dalam PRU nanti. Kalau mereka sudah berikrar untuk beri sokongan maka ini satu perkembangan yang positif dan kalau ini benar-benar berlaku maka ia akan beri kemenangan yang lebih baik untuk parlimen Bukti Katil.

Kalau ada perkara berbangkit, sila berjumpa dengan saya untuk saya ambil tindakan. Kita boleh berbincang. Kalau nak apa-apa pembangunan baru pula, kena la tunggu lepas pilihan raya sebab sekarang ini kita berkhidmat tanpa peruntukan. Kalau kita sudah menang, banyak yang kita boleh bantu.

S: Pengundi sudah merasakan bagaimana berada di bawah pembangkang. Jadi apa pesanan Tan Sri kepada para pengundi Bukit Katil pada PRU-14 nanti?

Tan Sri : Saya berharap pengalaman lima tahun dipegang oleh pembangkang menjadi satu pengalaman betapa ruginya kita sebagai penduduk Parlimen Bukti Katil kerana ada wakil rakyat yang tidak boleh bantu kita. Jadi saya harap, kembalikan balik parlimen ini kepada BN kerana BN boleh bantu rakyat dan saya dan rakan-rakan ada pengalaman untuk bangunkan parlimen ini.

Yang lepas saya lihat, mungkin mereka fikir kerajaan akan bertukar jadi ramai pengundi bertukar angin termasuklah pengundi kita. Saya sudah beri peringatan bahawa BN akan tetap jadi kerajaan tetapi mereka tertipu dengan janji pembangkang.

Kita bukan takbur tetapi itulah hakikatnya… jadi saya minta para pengundi kena ingat ini. BN akan terus jadi kerajaan…

Bagaimana kita mahu yakinkan para pengundi dan inilah peranan jentara parti untuk meraih undi. Saya percaya dari segi reaksi orang ramai sekarang ini, mereka merasakan kerugian yang besar… ini kalilah.. jadi pulangkan balik ‘katil’ yang telah dipinjamkan selama lima tahun ini. – MediaUMNO

Sumber asal: Ini Kalilah… Kembalikan ‘Katil’ Yang Telah Dipinjamkan Selama Lima Tahun Ini – Ali Rustam

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment