Tujuh berita palsu paling epik Pakatan Harapan

Posted by Kerah Lekung on Thursday, 29 March 2018

Tujuh berita palsu paling epik Pakatan Harapan.

Pembentangan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 di sidang Dewan Rakyat disambut pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan yang diketuai DAP dengan pelbagai kenyataan negatif.

Kata pepatah, siapa makan cili dialah rasa pedas dan adakah undang-undang ini tidak disenangi kerana mereka sendiri menggunakan berita palsu sebagai modal politik selama ini?

Seorang pengguna Facebook, Muhamad Harris Nasril menyenaraikan tujuh berita palsu paling epik yang pernah disebarkan dalam arena politik negara melibatkan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.

1. 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk sebagai pengundi hantu

Dakwaan palsu pembangkang ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Akibatnya, terdapat orang awam dituduh sebagai warga Bangladesh dipukul dan dimarahi semasa beratur untuk mengundi walaupun sebenarnya merupakan rakyat Malaysia.

2. Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-13 hasil undi warga Bangladesh

Berita palsu ini telah dinafikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, A. K. M. Atiqur Rahman yang menyifatkan berita tersebut sebagai tidak berasas dan dibuat oleh golongan tidak berakal.

3. Kerajaan Persekutuan tutup paip air utama di Selangor

Dakwaan tindakan sabotaj oleh kerajaan Persekutuan terhadap bekalan air di Selangor tersebar ketika negeri tersebut mengalami gangguan bekalan air selama hampir seminggu baru-baru ini. Berita tersebut dinafikan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

4. Dokumen Langkah Kajang untuk jatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

PKR dan Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution menyatakan rasa kesal dan memohon maaf kepada bekas Menteri Besar Selangor itu kerana mengeluarkan satu laporan setebal 91 muka surat yang mengandungi pelbagai tuduhan terhadap Abdul Khalid.

5. Pertukaran kerajaan 16 September 2008

Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramah mendakwa telah mempunyai sejumlah wakil rakyat kerajaan yang akan melompat parti pada tarikh 16 September 2008 supaya pembangkang ketika itu dapat membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Barisan Nasional. Walau bagaimanapun, 16 September berlalu begitu sahaja tanpa ada mana-mana wakil rakyat yang lompat parti.

6. 'Blackout' semasa kiraan undi PRU-13

Dakwaan berlaku insiden padam lampu semasa proses kiraan undi di beberapa kawasan telah membawa beribu penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di Stadium Kelana Jaya pada malam pengumuman keputusan PRU-13. Namun empat bulan selepas itu Pengarah Strategik Pilihan Raya DAP, Ong Kian Ming bersetuju dengan Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau) bahawa tiada insiden padam lampu yang berlaku.

7. Dr. Kamarul Zaman Yusoff 'terkucil'

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusof didakwa terkucil apabila berhadapan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sebuah forum baru-baru ini. Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan Kamarul yang mendakwa beliau masih mampu berhujah dan menyatakan pendiriannya terhadap Dr. Mahathir.

Sumber asal: Tujuh berita palsu paling epik Pakatan Harapan

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment