“NAJIB RAZAK LEBIH BAIK”

Posted by Kerah Lekung on Wednesday, 28 March 2018

“NAJIB RAZAK LEBIH BAIK”.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berjaya membuktikan kemampuannya mentadbir negara dalam tempoh sembilan tahun sahaja berbanding 22 tahun pencapaian pemerintahan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata Najib cukup berjaya dalam banyak hal dan mencipta legasi jauh lebih baik daripada era sebelumnya.

Beliau berkata, Najib berjaya membina Menara 106 dengan ketinggian mengatasi Menara Berkembar Petronas yang dibina pada era Dr Mahathir; Lebuhraya Pan Borneo lebih panjang dan tanpa tol berbanding Lebuhraya Plus; membina Transit Aliran Massa (MRT) danECRL yang jauh lebih moden serta lebih laju.

Katanya, Najib sangat cekal, komited dengan visi, agenda transformasinya dan tidak berhenti usaha membawa pembangunan serta pentadbiran berkonsepkan ‘dahulukan rakyat’ ke arah masa depan lebih baik dan lebih hebat lagi.

“Dr Mahathir pasti mengakui bahawa anak didiknya, Najib ternyata muncul lebih baik daripada yang beliau sangka.

“Najib seolah-olah mewarisi kesabaran Tun Abdullah Badawi (Pak Lah), karisma Datuk Seri Anwar Ibrahim (Anwar), ketegasan Tun Hussein Onn dan kelicikan Dr Mahathir serta kebijaksanaan ayahandanya, Tun Razak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Annuar berkata, antara kejayaan Najib dapat dilihat menerusi pembentangan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017, yang memaklumkan Malaysia menghampiri status negara berpendapatan tinggi.

Katanya, kejayaan NTP 2017 adalah pendapatan per kapita tahun lalu RM37,700; pendapatan Negara Kasar tahun lalu RM1.32 trilion dan peluang pekerjaan diwujudkan antara tahun 2011 hingga tahun lalu dengan nilai RM2.68 juta.

“Setiap dasar dilaksanakan Najib adalah untuk kepentingan dan keuntungan pelbagai lapis rakyat,” katanya.

Annuar berkata, Dr Mahathir terpaksa mengakui hakikat Najib menguasai dan memimpin UMNO dengan lebih hebat dan menguruskan negara lebih baik daripada beliau.

“Kehebatan dan kecekapan Najib yang paling menonjol berbanding Dr Mahathir adalah dalam enam aspek iaitu perpaduan nasional yang utuh; hubungan sangat baik dengan istana dan rating ekonomi lebih bagus.

“Selain itu, Najib memainkan hubungan diplomatik lebih mantap, rizab negara hampir lima kali lebih tinggi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih berkembang,” katanya.

Annuar mendakwa jauh di sudut hati Dr Mahathir pasti mengakui kehebatan Najib, namun beliau tidak mempunyai pilihan.

“Apakan daya, Dr Mahathir tahu beliau sebenarnya tiada pilihan. Hati kecilnya tahu DAP bukan pilihan, Anwar bukan sesuai diberi peranan.

“Dr Mahathir juga amat tahu Mat Sabu hanya sekadar ayam sabungan. Beliau tahu dek lukanya mendalam berpunca daripada pemecatan anak kesayangannya, Datuk Seri Mukhriz daripada jawatan Menteri Besar Kedah tidak lama dulu.

“Dr Mahathir nampaknya lawan tetap lawan sekalipun sudah tiada pakatan, sudah tiada harapan,” katanya.

Sumber asal: “NAJIB RAZAK LEBIH BAIK”

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment