KETUA AMK AMPANG DIPERINTAH BELA DIRI

Posted by Kerah Lekung on Saturday, 31 March 2018

KETUA AMK AMPANG DIPERINTAH BELA DIRI.
Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah untuk membela diri atas enam pertuduhan memberi pernyataan palsu dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Februari tahun lalu.

Hakim Allaudeen Ismail memutuskan demikian terhadap Adam Rosly, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kes pendakwaan.

Pendakwaan dan perbicaraan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Akram Gharib manakala Adam Rosly diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Datuk Sulaiman Ismail.

Adam Rosly dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi pernyataan palsu dan empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM, Februari tahun lalu.

Keenam-enam pertuduhan itu didakwa dilakukan di Ibu pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara pukul 9 pagi dan 12.15 tengah hari, 10 Februari 2017 serta antara pukul 9 pagi dan 2 petang, 22 Februari tahun sama.

Pertuduhan memberi pernyataan palsu dikemukakan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 manakala pertuduhan mengemukakan dokumen palsu mengikut Seksyen 89 akta sama yang masing-masing membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE

Sumber asal: KETUA AMK AMPANG DIPERINTAH BELA DIRI

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment