Pergerakan Pemuda UMNO mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdebat mengenai isu perumahan yang gagal diselesaikan di kedua-dua negeri pimpinan Pakatan Harapan diketuai DAP itu.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan (HELP) Pemuda UMNO, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin berkata, isu sembilan projek perumahan mampu milik yang dibatalkan oleh kerajaan PKR Selangor dan perumahan gagal dibina oleh kerajaan DAP Pulau Pinang itu masih menjadi isu yang perlu diselesaikan.
Katanya, kedua-dua pemimpin kerajaan negeri berkenaan sering memutarbelitkan isu perumahan itu dengan menyalahkan Kerajaan Persekutuan.
“Pemuda UMNO sangat kecewa dengan isu ini yang seolah-olah dipermainkan oleh kepemimpinan kedua-dua kerajaan negeri itu sekali gus menyebabkan harapan anak-anak muda yang berpendapatan rendah musnah untuk memiliki kediaman sendiri.
“Oleh demikian, Pemuda UMNO bertegas mencabar untuk berdebat dalam isu perumahan dengan kedua-dua pemimpin tertinggi negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan PKR Selangor membuat keputusan mengejut apabila membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku dengan memberikan alasan kegagalan pemaju mendapatkan kebenaran merancang sebagai punca tindakan tersebut terpaksa dibuat manakala kerajaan DAP Pulau Pinang pula gagal membina rumah mampu milik di negeri itu.
Mengulas lanjut, Nazir Hussin berkata, beliau sendiri akan menjadi wakil Pemuda UMNO dan mencabar Mohamed Azmin serta Guan Eng berani menyahut cabaran dalam perdebatan tersebut.
Jelas beliau kedua-dua pemimpin itu gagal membina rumah yang telah dijanjikan dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.
“Perdebatan ini bertujuan untuk menegakkan keadilan dan memastikan hak orang muda di Selangor dan Pulau Pinang terjamin.
“Tidak perlu menteri-menteri Kabinet yang hadir berdebat kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) telah berjaya melaksanakan semua janji sebelum ini,” katanya.
Sumber asal: KERAJAAN PH DI P.PINANG & SELANGOR GAGAL BINA RUMAH SEPERTI JANJI MANIFESTO PRU13
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment