5 SOALAN CEPU EMAS KEPADA PAKATAN HARAPAN…

Posted by Kerah Lekung on Saturday, 31 March 2018

5 SOALAN CEPU EMAS KEPADA PAKATAN HARAPAN….
Terdapat beberapa sistem pilihan raya yang diamalkan, namun ‘first past the post’ menjadi kaedah paling popular dengan kira-kira satu pertiga negara di dunia menggunakannya termasuk Malaysia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Menerusi sistem itu, mana-mana parti politik yang berjaya ‘memenangi’ undi popular tidak semestinya dapat membentuk kerajaan dan situasi berkenaan pernah berlaku di UK dan AS tetapi tidak pun dijadikan isu oleh pembangkang di dua negara tersebut.

Namun ini berbeza di Malaysia apabila pemimpin pembangkang tidak boleh menerima hakikat kekalahan dan seterusnya mendesak persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan bagi memberi kelebihan kepada mereka yang meraih undi popular.

Berikut lima soalan kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apakah adil senario yang berlaku dalam beberapa pilihan raya di AS, UK dan juga Malaysia:



1) Adilkah Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS)?

———————————————————-

Pakatan Harapan diketuai DAP sering kali berhujah kononnnya merekalah yang sepatutnya menjadi kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana memperoleh 50.87 peratus undi popular.

Bagaimana pula dengan AS, Hillary Clinton memenangi undi popular tetapi yang mengangkat sumpah Presiden adalah Donald Trump yang hanya mendapat 46.1 peratus undi. Apakah kawasan pilihan raya di negara rujukan demokrasi itu tidak adil?

2) Adilkah Parti Konservatif menang Pilihan Raya UK 1951?

———————————————————-

Sekali lagi, menang undi popular tetapi tidak menjadi kerajaan. Parti Konservatif pimpinan Winston Churchill di UK pada 1951 hanya memperoleh 48 peratus undi popular, ‘ditewaskan’ oleh Parti Buruh yang mendapat 48.8 peratus undi, namun Parti Konservatif tetap menang berdasarkan ‘first past the post’ sama seperti di Malaysia.

Maka, soalan kepada Pakatan Harapan terutamanya Kit Siang, adakah kemenangan Parti Konservatif ini tidak adil? Adakah Parti Buruh sepatutnya mengetuai kerajaan UK ketika iti?



3) PRU-10: Bagaimana BN menguasai DUN Kedah, tetapi Pas menang lebih banyak kerusi Parlimen?

————————————————————————–

Semasa PRU-10 pada 1999, ‘tsunami Melayu’ menyebabkan Pas memperoleh jumlah kerusi terbanyak dalam sejarah mereka termasuk menjadi kerajaan di Terengganu. Namun di Kedah, BN masih mengekalkan penguasaan tetapi 13 kerusi DUN jadi milik Pas.

Ironinya di peringkat Parlimen, daripada 15 kerusi, BN hanya memperoleh tujuh berbanding Pas yang mendapat lapan kerusi. Persoalannya, adakah Kit Siang atau Azmin mahu mengatakan penetapan kawasan pilihan raya ketika era Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak adil kerana walaupun BN Kedah menguasai DUN tetapi bilangan wakil mereka di Dewan Rakyat sedikit daripada Pas?

4) PRU-11: Kenapa BN memperoleh undi popular tetapi Pas tetap menguasai Kelantan?

——————————————————————————-

Imbas kembali keputusan PRU-11 tahun 2004 di Kelantan, walaupun BN berjaya meraih undi popular di peringkat DUN berbanding Pas dan sekutunya PKR, namun pemerintahan Kelantan tetap di bawah Pas.

Kenapa jadi begitu? Mudah saja, ia disebabkan di peringkat DUN, Pas menguasai 24 kerusi manakala BN pula hanya menang di 21 kerusi DUN, ini bermakna Pas tetap berhak memerintah Kelantan disebabkan kelebihan majoriti kerusi DUN. Sekali lagi, persempadanan itu diwujudkan era Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, adilkah?



5) Pernahkah proses persempadanan semula dipersoal ketika Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri?

—————————————————————————-

Ya, Presiden PAN, Mohamad Sabu satu ketika dahulu semasa menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah pernah bangkit di Dewan Rakyat mempersoalkan proses persempadanan semula 2003, kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melanggar kuasa ketika melaksanakan proses tersebut. Contoh diberi, Terengganu tidak dilayan sama seperti Pahang.

Persoalan, adakah Dr. Mahathir yang kini menjadi ‘kawan karib’ Mohamad ‘menggunakan’ SPR untuk proses persempadanan semula ketika itu – seperti mana dakwa mereka untuk proses yang sama kali ini? – UTUSAN ONLINE

Sumber asal: 5 SOALAN CEPU EMAS KEPADA PAKATAN HARAPAN…

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment