Dr. Mahathir: Apa yang kita mahu darinya? Kita tengok bagaimana kebanyakan orang kita berfikir

Posted by Kerah Lekung on Monday, 29 January 2018

Dr. Mahathir: Apa yang kita mahu darinya? Kita tengok bagaimana kebanyakan orang kita berfikir.
Mahu Apa Kita Dengan Mahathir ?
Oleh Dinsman
Soalannya mudah. Tetapi jawapannya tidaklah mudah. Namun saya perhatikan kebanyakan kita hanya melihat jawapannya yang mudah. 

Apa yang kita mahu? Kita mahu jatuhkan Najib. Semudah itu jawapannya, dan seolah-olah habis di situ sahaja. Lalu, kalau kita perlu angkat Mahathir jadi Perdana Menteri pun, tak mengapalah, asalkan kita boleh jatuhkan Najib. Kerana yang paling penting sekarang ialah jatuhkan Najib.

Seperti biasa, saya tidak bicara politik di sini. Saya melihat pemikiran – bagaimana kebanyakan orang kita berfikir. Saya perhatikan kita hanya melihat perkara-perkara yang di dekat kita sahaja.

Perkara-perkara yang jauh kita abaikan; walaupun kita tahu lambat laun kita terpaksa juga hadapi perkara-perkara yang jauh itu. Kita abaikannya sehingga kita sanggup melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan keperluan kita di hari depan kita sendiri.

Sekarang kita mahu jatuhkan Najib. Kebanyakan kita hanya melihat itu. Seolah-olah kita tidak ada masalah lain lagi yang lebih penting atau utama daripada itu. Sebab apa kita melihat begitu? Sebab kita didominasi oleh politik. Kita berfikir pun dengan fikiran yang dihidupkan oleh orang-orang politik; yakni dengan fikiran politik. Dan fikiran politik kita pula jangkauannya tidak jauh.

Manakala Mahathir pula tidak berfikir seperti kebanyakan kita berfikir. Jangkauan fikiran politik Mahathir jauh melebihi jangkauan fikiran politik kebanyakan kita. Makanya kebanyakan kita berhujah mengatakan kita mempergunakan Mahathir. Padahal kita tak sedar bahawa selama ini Mahathir telahpun mempergunakan kita dan terus mempergunakan kita persis seperti dalam perancangannya.

Saya tak mahu berhujah siapa yang pergunakan siapa di sini. Seperti saya kata tadi, saya tidak bicara politik, tetapi saya melihat pemikiran, kerana pemikiranlah yang menggerakkan tindakan. Soalan semudah “apa kita mahu” itupun terlalu sukar untuk kita menjawabnya dengan betul, sebab apa?

Cuba perhatikan. Apakah benar bahawa yang kita mahu itu ialah jatuhkan Najib? Untuk apa? Sebab Najib telah merompak terlalu banyak hak rakyat. Sebab Najib telah mengakibatkan kos hidup kita menjadi semakin tinggi dan semakin tinggi, dan kebanyakan kita tidak mampu lagi hendak menampung kos yang semakin tinggi itu.

Jadi – apa yang kita mahu sebenarnya? Bukan jatuhkan Najib. Yang kita mahu sebenarnya ialah kehidupan yang aman dengan kos sarahidup yang munasabah dan tidak membebankan.

Yang hendak kita jatuhkan sebenarnya bukan manusia yang bernama Najib itu, tetapi pemimpin yang jahat yang menipu rakyat, yang sanggup merompak hak dan harta rakyat, yang tidak pedulikan rakyat hidup susah asalkan dia dapat memuaskan nafsunya sendiri menikmati kuasa yang tiada batas.

Samalah juga – dulu kita berusaha hendak menjatuhkan Mahathir dan serentak dengan itu kita melancarkan Reformasi (yang sehingga sekarang sejak tahun 1998 itu belum berjaya). Mahathir sudah berundur daripada kerusi Perdana Menteri. Dia bukan dijatuhkan oleh gerakan Reformasi tetapi dia berundur.

Gerakan Reformasi hendak menjatuhkan pemimpin yang zalim dan bersikap diktator itu masih belum berjaya sehingga sekarang. Mahathir berundur dengan kehendaknya sendiri dan dengan strateginya sendiri. Dia tidak dijatuhkan oleh gerakan Reformasi yang dipimpin oleh Anwar (yang disingkirkan Mahathir daripada barisan kepimpinannya itu).

Diringkaskan cerita, apabila kepemimpinan PM Najib menunjukkan belang jahatnya yang semakin menimbulkan kemarahan rakyat, Mahathir tiba-tiba menunjukkan kecenderungannya kepada kelompok gerakan Reformasi. Dia mulai bertindak melakukan beberapa perkara yang tak dijangka umum, yang mengejutkan, tetapi mulai ditafsirkan umum bahawa dia cenderung memihak dan menyokong kelompok Reformasi dan pembangkang.

Sedikit demi sedikit Mahathir masuk ke dalam barisan pembangkang, sehinggalah dia menubuhkan parti baru dan berjaya mengetuai pakatan parti-parti pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan (PH); dan terakhir dia diumumkan bakal Perdana Menteri Malaysia sekiranya PH menang dalam pilihanraya umum akan datang.

Mahathir kini diterima kembali untuk sekali lagi memimpin rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri, bagi menggantikan Perdana Menteri kini yang dianggap keterlaluan jahatnya, hingga menyusahkan dan membebankan kehidupan rakyat.

Apa yang kita mahu sebenarnya? Kita mahukan pemimpin yang diktatorial, materialis, tidak menghargai budaya Melayu dan sanggup mencemari dan meng’aibkan maruah orang Melayu, seperti Mahathir itu, untuk menjadi Perdana Menteri kita sekali lagi, semata-mata kerana kita marah dan bencikan Najib? Kita sanggup lupakan sisi negatifnya Mahathir itu buat sementara, semata-mata kerana nak jatuhkan Najib?

Apa yang kita mahu sebenarnya? Kita mahukan kehidupan yang aman dengan kos sarahidup yang munasabah dan tidak membebankan. Kita mahukan kehidupan yang seimbang dan harmoni. Kita mahukan pemimpin yang bertanggungjawab dan mampu membangunkan kehidupan seperti yang kita inginkan itu.

Apakah dengan mengangkat kembali pemimpin yang pernah kita tolak kerana sebab-sebab yang termaklum itu, kita percaya kita akan mencapai kehidupan yang kita inginkan itu?

Kita tak berfikir begitu. Kita tak fikirkan itu pun. Kita hanya fikir nak jatuhkan Najib sahaja. Yang lain-lain kita akan fikir kemudian selepas Najib berjaya dijatuhkan, ataupun selepas Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri, yang mungkin bukan kerana kita yang menjatuhkannya seperti dengan kes menjatuhkan Mahathir dulu itu.

Seperti dikatakan tadi, saya tidak bicara politik di sini, kerana saya memang tidak percayakan politik boleh menyelesaikan masalah sebenar yang sedang dihadapi rakyat Malaysia kini. Saya hanya menyatakan pemerhatian terhadap sikap dan pemikiran sebahagian daripada kita, yang pemikirannya masih kuat didominasi oleh fikiran/minda politik.

Dan pemerhatian saya ini juga memberitahu saya bahawa apa yang saya harapkan untuk membangunkan ‘Tekad Budaya’ itu adalah sesuatu yang masih jauh untuk dicapai. Namun perjuangan ke arah itu perlu diteruskan, kerana bibit-bibitnya sudah kelihatan tumbuh menghijau.

Sumber asal: Dr. Mahathir: Apa yang kita mahu darinya? Kita tengok bagaimana kebanyakan orang kita berfikir

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment