Hadi Sindir Mahathir Bawa Budaya ‘Melayu Mudah Lupa’

Posted by Kerah Lekung on Tuesday 27 March 2018

Hadi Sindir Mahathir Bawa Budaya ‘Melayu Mudah Lupa’.
TIDAK LUPA… Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyindir Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya jangan membawa budaya ‘Me­layu mudah lupa’ yang merujuk puisi terkenal tokoh itu.
Ia ekoran Mahathir yang kini hanya memfokuskan kepada isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga lupa skandal Forex (tukaran wang asing), Skyhawk, Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan isu lain era beliau dahulu.

Walaupun Abdul Hadi tidak menamakan kepada siapakah sin­diran itu ditujukan tetapi dipercayai kenyataan Ahli Parlimen Marang berkenaan merujuk kepada Pengerusi Pakatan Harapan tersebut yang terpalit skandal terbabit.

Ini kerana skandal tersebut hanya berlaku ketika era pemerintahan Mahathir, 92, selama 22 tahun tetapi rakyat langsung tidak didedahkan kerana liputan media dikawal ketat sepenuhnya oleh kerajaan pada zaman berkenaan.

“Dalam masalah 1MDB, kita mesti bersandarkan kepada kehakiman adil, saksi adil, beriman, tidak rendah maruah. Orang tiada maruah tidak boleh jadi saksi dalam Islam. Apa yang berlaku hari ini ialah saksi pula ialah media sosial.

“Kita tak kenal siapa jadi terdedah kepada fitnah. Sebab itu kita mesti kendali dengan seadilnya, bukan sahaja 1MDB tetapi kes Forex, Skyhawk, BMF, Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

“Apa yang berlaku sekarang ini, kita membawakan budaya ‘Melayu mudah lupa’. Lebur (bongkar) 1MDB, yang dulu kita lupa semuanya, kita (rakyat sepatutntya) tidak lupa,” kata Abdul Hadi ketika menjawab soalan daripada hadirin.

Beliau menegaskan demikian ketika sesi Dialog 2018 Bersama Anak Muda Gagasan Sejahtera, di Shah Alam, Selangor semalam sambil membawa analogi puisi Melayu Mudah Lupa ditulis bekas perdana menteri itu sendiri.

Mahathir sebelum ini memberitahu Suruhanjaya Sia­satan Diraja (RCI) yang me­nyiasat kerugian urus niaga Forex bahawa beliau tidak mengetahui mengenai aktiviti itu yang telah menyebabkan negara kehilangan RM32 bi­lion.

Anehnya Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) pada ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein sudah memaklumkan kepada Mahathir sendiri namun tidak ada sebarang tindakan yang diambil sehingga RCI tersebut ditubuhkan.

Berhubung skandal Skyhawk, Malaysia membuat pembelian 88 buah pesawat pejuang A-4 Skyhawk terpakai pada 1985 di bawah Program Pembangunan Istimewa Angkatan Tetap (Perista) tetapi hanya 44 buah sahaja dibawa balik.

Selebihnya ditinggalkan di gurun Mojave Amerika Syarikat sehingga mengundang pelbagai kritikan. Sementara dalam skandal BMF pula, berlaku suntikan dana secara mencurigakan berjumlah RM2.5 bilion kepada spekulator.

Ia melibatkan penyaluran kepada hartanah Hong Kong pada 1982 dan pegawai BMF, Jalil Ibrahim yang ditugaskan untuk menyiasat kes tersebut kemudian ditemukan mati dibunuh secara misteri pada 1983 di pulau berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai isu 1MDB, PAS kata Abdul Hadi, bukan sengaja mem­bela mereka yang bersalah tetapi mana-mana pihak yang dituduh atau dikaitkan pula mestilah dinilai de­ngan seadil-adilnya.

“Ia bukan bertindak seperti orang sembelih ayam daging, hingga licin satu reban. Orang yang dituduh dalam Islam dianggap tidak bersalah tetapi apa yang berlaku hari ini, bila dituduh sahaja, orang terus menghukum dia bersalah.

“Ini pendekatan yang tidak betul dan atas sebab itu kita tidak boleh menyebar fitnah, kalau ada fitnah pun, kita kena cari jalan memurnikannya,” tambah Abdul Hadi lagi.

Sumber asal: Hadi Sindir Mahathir Bawa Budaya ‘Melayu Mudah Lupa’

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment