Pemimpin kuil Seafield mohon maaf kerana tuduh Adib dilanggar lori Bomba. PEMIMPIN Kuil Sri Maha Mariamman yang sebelum ini menuduh Muhammad Adib Mohd Kassim dilanggar oleh lori bomba ketika rusuhan minggu lalu dilapor memohon maaf berhubung perkara itu.
S. Ramaji dilapor berkata, beliau membuat ulasan itu sebelum ini selepas melihat sebuah klip video dan mahu mengetengahkan kebaikan orang yang mula-mula membantu anggota bomba berusia 24 tahun itu.
"Saya dengan rendah diri mohon maaf atas segala kekeliruan. Saya cuma mahu tunjukkan sisi baik orang-orang yang segera membantu anggota bomba itu, dan bukan mahu timbulkan kekeliruan tentang kejadian secara keseluruhan atau menuduh sesiapa," katanya.
"Sekali lagi saya tegaskan bahawa ini bukanlah satu insiden perkauman. Malah setiap hari saya berdoa untuk anggota bomba itu," katanya, lapor Malay Mail.
"Sesetengah orang kata orang India tarik dia (Adib) keluar dari kenderaan dan belasah dia, keesokan harinya kami dapat video,"
"Jadi keesokkan hari apabila kami dapat video ini, kami berasa sangat teruja kerana kami dapati ada bukti bahawa orang India kita tidak melakukannya. Jadi bila kita dapat bukti itu, kami fikir ia patut diberikan kepada wartawan," kata Ramaji atau nama sebenarnya M Ramachandran yang ditemui baru-baru ini.
Tambahnya lagi, beliau hanya mahu memberikan bukti yang diterima oleh ahli kuil, dan tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap sesiapa pun yang terlibat dalam kejadian itu.
"Terima kasih Adib kerana berkhidmat untuk rakyat Malaysia. Kamu seorang yang sangat baik dan saya akan terus doakan kamu dalam doa saya," katanya.
BACA JUGA — Rakaman bukti Adib tidak dilanggar lori Bomba
Pada 28 November lalu, Ramaji dilapor memberitahu wartawan dalam satu sidang media bahawa kecederaan parah yang dialami oleh Muhammad Adib bukan akibat diserang oleh perusuh, tetapi kerana dilanggar oleh lori bomba yang mengundur secara laju.
Ramaji turut merujuk kepada video klip yang dimuat naik ke laman Facebook dan dikongsi di pelbagai platform media sosial untuk menyokong dakwaannya.
Muhammad Adib, anggota bomba dari Unit Tindakan Kecemasan (EMRS) Subang Jaya telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dari Subang Jaya Medical Centre (SJMC) pada malam 27 November.
Beliau telah dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) di SJMC pada pagi hari yang sama dalam keadaan rusuknya patah dan bengkak di bahagian dada serta abdomen selepas dikatakan dibelasah oleh perusuh yang menariknya keluar dari kenderaan yang dinaikki.
Bagaimanapun minggu lalu Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan bahawa anggota bomba Muhammad Adib telah dibelasah dan bukan dilanggar oleh lori bomba pada hari kedua kejadian rusuhan di kuil Seafield.
"Berdasarkan maklumat yang kami perolehi setakat ini, dia tidak dilanggar oleh lori bomba. Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohamad Hamdan Wahid juga telah mengesahkan perkara ini semalam dan satu laporan polis telah dibuat,"
"Kami sedang kenal pasti individu yang berkongsi sebuah video mendakwa Muhammad Adib telah dilanggar oleh sebuah lori dan sebilangan individu dari pengurusan kuil yang menyebarkan informasi palsu ini," katanya kepada wartawan.
Sumber asal: Pemimpin kuil Seafield mohon maaf kerana tuduh Adib dilanggar lori Bomba
Home » ReJaM© » Pemimpin kuil Seafield mohon maaf kerana tuduh Adib dilanggar lori Bomba
Pemimpin kuil Seafield mohon maaf kerana tuduh Adib dilanggar lori Bomba
Posted by Kerah Lekung on Wednesday, 5 December 2018
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment