Saadatul Nafisah, wanita berani sebalik pendedahan salah laku Najib Razak

Posted by Kerah Lekung on Monday 26 November 2018

Saadatul Nafisah, wanita berani sebalik pendedahan salah laku Najib Razak. SALAH laku Najib Razak yang didakwa mengarahkan laporan akhir 1MDB diubahsuai antaranya untuk memadam nama "Jho Low" dalam laporan 1MDB, menjadi tajuk utama sumber berita dalam negara beberapa hari ini.

Pendedahan itu jelas sekali menunjukkan berlakunya pengkhianatan besar terhadap kepercayaan rakyat dan negara yang diamanahkan kepada seorang perdana menteri dan penjawat awam.

Namun di sebalik pendedahan besar ini, difahamkan ada seorang wanita yang memainkan peranan penting bagi membolehkan terbongkarnya salah laku Najib Razak dan penyelewengan para penjawat awam yang bersekongkol dengannya.

Nama Wanita itu ialah "Saadatul Nafisah," bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan yang telah menyimpan satu salinan asal laporan akhir audit 1MDB, sebagai bukti untuk mendedahkan penyelewengan oleh Najib dan konco-konconya.

Saadatul Nafisah
Hajah Saadatul Nafisah Binti Bashir Ahmad bertudung oren

Difahamkan Saadatul Nafisah yang menjalankan kerja-kerja audit dan menyediakan laporan tentang syarikat 1MDB, telah diarah untuk memusnahkan salinan laporan itu, namun beliau dengan berani memilih untuk terus menyimpannya sebelum menyerahkan ia kepada saudari Nor Salwani selepas beliau bersara.

Nor Salwani pula telah menyerahkan laporan asal audit 1MDB ini kepada Dr Madinah Mohamad apabila beliau mengambil alih jawatan sebagai Ketua Audit Negara menggantikan Ambrin Buang.

Selepas kerajaan Barisan Nasional dijatuhkan pada pilihan raya umum yang lalu, Ketua Audit Negara, Dr Madinah Mohamad telah memberitahu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa laporan audit 1MDB yang dibentangkan kepada PAC dan kabinet sebelum ini adalah laporan yang telah diubahsuai.

Dr Madinah turut memberitahu bahawa laporan asal telah diterima daripada saudari Nor Salwani, Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus selepas beliau mengambil alih jawatan Ketua Audit Negara daripada Ambrin Buang.

Dr Madinah turut mendedahkan bahawa ubahsuai laporan 1MDB itu diarahkan Najib Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu, dan turut disokong oleh bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Dr Ali hamsa, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Shukri Mohd Salleh.

Keputusan itu katanya dibuat dalam satu mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri.

Dr Madinah meskipun sudah mengambil alih jawatan sebagai Ketua Audit Negara, pada asalnya tidak dapat berbuat apa-apa terhadap Najib dan konco-konconya, kerana pada waktu itu mereka masih berkuasa dalam pentadbiran tertinggi kerajaan Malaysia.

Mujurlah kerajaan Pakatan Harapan berjaya menewaskan Barisan Nasional. Oleh itu orang-orang jujur seperti Saadatul Nafisah, Nor Salwani, dan Dr Madinah dapat mendedahkan segala tembelang, penipuan, dan penyelewengan, yang disembunyikan selama ini daripada pengetahuan rakyat.

Keberanian wanita-wanita ini di dalam menentang kemungkaran dan penyelewengan patut diberikan penghargaan dan pengiktirafan.
Sumber asal: Saadatul Nafisah, wanita berani sebalik pendedahan salah laku Najib Razak

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment