SIAPA BOLEH LUPA PEMIMPIN DAP YANG LANTANG MENENTANG RUU 355 – AMINUDDIN YAHAYA

Posted by Kerah Lekung on Sunday 15 April 2018

SIAPA BOLEH LUPA PEMIMPIN DAP YANG LANTANG MENENTANG RUU 355 – AMINUDDIN YAHAYA.
KUALA LUMPUR 13 April – Sudah menjadi ‘tabiat’ Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menjaja cerita ke seluruh pelosok negara berhubung bantuan kewangan kerajaan negeri yang diketuainya kepada sekolah agama rakyat (SAR).



Dalam sebuah hantaran di Facebook rasminya semalam, Setiausaha Agung DAP itu sekali lagi mendabik dada atas peningkatan peruntukan yang disalurkan kepada SAR di Pulau Pinang sambil mengaitkan perkara itu sebagai bukti DAP bukan anti-Islam seperti mana persepsi ramai.



Mengulas perkara ini, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, usaha Guan Eng tidak akan membantu mengubah persepsi selagi mana pendirian politik DAP masih berterusan cuba mencampuri urusan umat Islam seperti dalam pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).



Sebab itu, katanya, tidak menghairankan jika ada yang masih melihat peruntukan-peruntukan yang diberikan kerajaan DAP Pulau Pinang kepada institusi Islam adalah gimik politik untuk menarik pengundi Melayu.



Jelasnya, apatah lagi pemimpin negeri itu akan memperbesarkan peruntukan diberikan sambil menjadikannya modal politik untuk menidakkan persepsi kurang mesra umat Islam kepada parti itu.



“Sedangkan siapa boleh lupa tindak-tanduk pemimpin DAP yang sangat lantang menentang RUU 355 sedangkan RUU itu bertujuan untuk mengangkat kedudukan mahkamah syariah.



“Sebab itu, rakyat tidak boleh menilai parti ini hanya melalui peruntukan yang mereka keluarkan, sebaliknya melihat keseluruhan dasar dan pegangan mereka. Kalau nak lihat peruntukan, mana-mana parti pun boleh beri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.



Menurut beliau lagi, konsep Malaysian Malaysia yang menjadi pegangan parti tersebut menunjukkan bahawa ada cubaan untuk menyuntik elemen liberal dalam pemikiran masyarakat yang ternyata bertentangan dengan ajaran Islam.



“Saya berharap rakyat tidak tertipu dengan gimik politik yang dijaja mereka,” ujarnya.



– UTUSAN ONLINE
Sumber asal: SIAPA BOLEH LUPA PEMIMPIN DAP YANG LANTANG MENENTANG RUU 355 – AMINUDDIN YAHAYA

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment