SAYA DIPERGUNA PEMBANGKANG UNTUK DAPATKAN UNDI CINA, KATA CEO SYARIKAT

Posted by Kerah Lekung on Sunday 15 April 2018

SAYA DIPERGUNA PEMBANGKANG UNTUK DAPATKAN UNDI CINA, KATA CEO SYARIKAT.
KUALA LUMPUR 14 April – Datuk Seri Stanley Thai memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas penglibatannya dengan kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar negara, Supermax Corporation Berhad itu berkata, beliau kini sedar bahawa ketika itu beliau dipengaruhi dan dieksploitasi oleh pihak pembangkang untuk mendapat sokongan dan undi orang Cina pada pilihan raya itu.

Katanya, sebagai ahli perniagaan, beliau kini mahukan politik yang stabil dan menyokong penuh dasar ekonomi Perdana Menteri yang membawa banyak kelebihan kepada negara.

“Saya sangat kesal kerana terpengaruh dengan propaganda mereka sehingga mereka berjaya membawa saya untuk berceramah dan berkempen untuk mereka.

“Saya juga dimasukkan sebagai Lembaga Penasihat Institut Rakyat, tetapi saya hanya menghadiri pelancaran dan selepas itu tidak dipanggil untuk mesyuarat dan sebagainya.

“Mujur saya sedar bahawa saya telah dieksploitasi dan bertindak menarik diri serta tidak terlibat dengan mana-mana parti politik sejak Mei 2013,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Stanley, beliau juga kesal apabila kenyataan beliau ketika menghadiri satu majlis makan malam pada bulan Mac 2013 juga telah dieksploitasi pihak pembangkang.

“Saya dijemput dan ketika majlis itu saya ditanya secara tidak formal mengenai sokongan orang Cina terhadap Barisan Nasional jadi saya menjawab dengan tanggapan itu adalah perbualan yang privasi dan kenyataan itu keluar dua minggu sebelum PRU-13.

“Saya mula sedar selepas keyataan saya itu tular dan ia dieksploitasi pemimpin pembangkang. Selepas daripada insiden itu, parti-parti komponen pembangkang mula menjemput saya dalam ceramah mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Sumber asal: SAYA DIPERGUNA PEMBANGKANG UNTUK DAPATKAN UNDI CINA, KATA CEO SYARIKAT

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment