Rundingan Buntu, PKR Bertegas Tanding Banyak Kerusi Di Selangor

Posted by Kerah Lekung on Friday 2 March 2018

Rundingan Buntu, PKR Bertegas Tanding Banyak Kerusi Di Selangor.
SHAH ALAM – PKR bertegas mahukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor paling banyak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana menganggap negeri ini adalah ‘milik’ mereka.

Sumber berkata, pendirian PKR itu menyebabkan rundingan Pakatan Harapan (PH) untuk mengagihkan kerusi DUN Selangor yang dijalankan sejak awal bulan ini masih buntu.

“Alasan diberi pemimpin PKR ialah Selangor ‘milik’ PKR, Pulau Pinang ‘milik’ DAP dan kemungkinan Kedah menjadi ‘milik’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Negeri ‘milik’ Parti Amanah Negara (PAN) pula akan dibuat berdasarkan keputusan selepas PRU-14 nanti.

“Sebanyak 14 kerusi PKR dan 15 kerusi DAP yang dimenangi pada PRU-13 kekal ditandingi kedua-dua parti ini. PAN pula memiliki dua kerusi selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS keluar menyertai PAN,” katanya kepada BH.

Sumber berkata, perbincangan agihan kerusi ketika ini hanya membabitkan 25 daripada 56 kerusi DUN yang disandang Barisan Nasional (BN) dan PAS.

“Jadi, baki 12 kerusi milik BN dan 13 kerusi milik PAS perlu diagihkan di antara DAP, PKR, PPBM dan PAN. Keadaan ini menyebabkan PPBM dan PAN tidak berpuas hati,” katanya.

Sementara itu, sumber berkata, berdasarkan keputusan awal rundingan, PKR dikatakan akan bertanding 19 kerusi DUN, DAP (18), PPBM (10), dan PAN (sembilan), namun ia dibantah PPBM serta PAN.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin berkata, parti itu kekal dengan pendirian untuk bertanding kerusi disandang BN.

Pada PRU-13, BN menang 12 kerusi iaitu DUN Sungai Burong, Jeram, Kuang, Semenyih, Permatang, Bukit Malawati, Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali, Kota Damansara dan Dengkil.

PAN pula konsisten dengan pendirian mahu bertanding kerusi DUN disandang PAS iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Klang.

ADUN Hulu Klang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin bagaimanapun keluar PAS untuk menyertai PAN.

Ketika ini, DAP menyandang 14 kerusi DUN Selangor, PKR (13), PAS (13), BN (12), PAN (2) dan Bebas (2).

Dua Bebas ialah ADUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan ADUN Teluk Datuk, Loh Chee Heng. – BH

Sumber asal: Rundingan Buntu, PKR Bertegas Tanding Banyak Kerusi Di Selangor

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment