PPBM Akan Kalah Teruk Di Kawasan BN – Ahmad Bashah

Posted by Kerah Lekung on Tuesday 27 March 2018

PPBM Akan Kalah Teruk Di Kawasan BN – Ahmad Bashah.
SUNGAI PETANI – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan dapat menembusi kubu Barisan Nasional (BN) Kedah terutama kawasan yang mempunyai pengundi Melayu konservatif.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pengundi kini bijak membezakan parti yang mampu menjamin masa depan rakyat dan negeri, malah tahu parti serpihan lebih bersifat tidak kekal.

Beliau yang juga Pengerusi BN Kedah berkata, pihaknya yakin kesetiaan rakyat terutama pengundi BN tidak mudah bertukar ganti.

“Pengundi setia BN tidak akan mudah bertukar (mengundi pembangkang) walaupun ada parti serpihan ini.

“Pengundi sedar pembangkang tak akan kekal kerana pembangkang tak boleh buat apa-apa kepada kawasan mahu pun negeri.

“Parti serpihan akan mati, seperti Parti Amanah Negara dari PAS, sama juga dengan Parti Pribumi Bersatu… mereka akan gagal,” katanya mengulas tindakan pembangkang yang cuba mencari pengaruh dalam kalangan penyokong tegar BN.

Beliau ditemui pada program makan tengah hari dan ramah mesra bersama pengundi Cina sempena Jelajah Muafakat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun di Kampung Bharu Bedong, di sini, lapor BH

Yang turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, beliau percaya pengundi bukan Melayu mula hilang keyakinan terhadap pembangkang selepas melihat keadaan yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor.

“Masyarakat kaum Cina dan India di Kedah saya tak bimbang kerana saya tengok mereka dah pandai memilih,” katanya.

Sementara itu, dalam lawatan yang diadakan, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM70,000 kepada DUN Gurun bagi pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Kuo Min, membaiki bangunan tokong serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bharu Bedong.

Beliau berkata, lawatan itu akan diteruskan ke empat lagi Parlimen iaitu Baling, Sik, Padang Serai dan Kubang Pasu bagi meninjau persiapan jentera menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di setiap Parlimen dan DUN.

“Lawatan ini juga untuk melihat keperluan rakyat dan perkara yang perlu diselesaikan di kawasan yang dilawati,” katanya.

Sumber asal: PPBM Akan Kalah Teruk Di Kawasan BN – Ahmad Bashah

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment