IDEOLOGI MAHATHIRISME SUDAH MERESAP KE DALAM PAKATAN HARAPAN

Posted by Kerah Lekung on Thursday, 1 February 2018

IDEOLOGI MAHATHIRISME SUDAH MERESAP KE DALAM PAKATAN HARAPAN.
Ideologi Mahathirisme yang dibawa oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat mula meresap ke dalam kepemimpinan dan akar umbi gabungan Pakatan Harapan diketuai DAP sejak beliau diangkat sebagai calon Perdana Menteri sementara awal tahun ini.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, pe­mimpin dan penyokong Pakatan Harapan diketuai DAP kini mula menggunakan strategi politik yang diguna pakai oleh Dr. Mahathir sejak sekian lama, iaitu dengan menindas golongan minoriti dan me­nganggap sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan mereka sebagai musuh.

“Saya bersimpati dengan seorang wani­ta yang dikenali sebagai Maryam Lee yang hadir mengemukakan pendapat tentang undi rosak dalam satu forum beberapa hari lalu dan sehingga ke hari ini beliau diserang di media sosial oleh penyokong Pakatan Harapan dengan gelaran dan sunti­ngan gambar yang kotor dan jelik, semata-mata kerana mempunyai pendapat yang berbeza dengan mereka.

“Pemimpin Pakatan Harapan tahu perkara ini sebab saya hantar semua komen-komen jelik itu kepada mereka tetapi tidak ada seorang pun yang bersuara,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Badrul Hisham berpendapat, insiden kekecohan yang berlaku dalam Konvensyen Pakatan Harapan Negeri Sembilan kelmarin menyerlahkan kerakusan pemimpin dan ahli PPBM dalam merebut kuasa.

Badrul Hisham memberitahu, PPBM dianggotai oleh bekas pemimpin serta ahli UMNO yang tamak kuasa jus­teru menimbulkan kekecohan memang menjadi ‘kepakaran’ mereka.

“Kenapa penyokong mereka sanggup mengganggu ucapan Pre­siden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail de­ngan laungan ‘Hidup Tun!’ hanya kerana diberikan sedikit kerusi di Negeri Sembilan sedangkan di ne­geri lain mereka memperoleh kerusi yang sedia banyak?

“Bagaimana parti komponen Pakatan Harapan yang lain mahu pastikan Dr. Mahathir hanya akan jadi Perdana Menteri sementara jika soal pembahagian kerusi pun penyokong mereka sudah bertindak sebegini?” soalnya.

Kekecohan tersebut dicetuskan oleh sekumpulan ahli PPBM gara-gara tidak ber­puas hati kerana diperuntukkan jumlah kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) pa­ling sedikit untuk ditandingi di Negeri Sembilan dalam PRU-14, iaitu enam kerusi berbanding 12 kerusi bagi PKR, DAP (11 kerusi) dan PAN (tujuh kerusi).

Sumber asal: IDEOLOGI MAHATHIRISME SUDAH MERESAP KE DALAM PAKATAN HARAPAN

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment