Datuk Seri Najib Tun Razak menangkis tohmahan pembangkang kononnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibuat atas kepentingan politik dengan berkongsi tentang latar belakang serta manfaat dari segi teori ekonomi pelaksanaan bantuan sejak 2012 itu.
Perdana Menteri berkata, idea pemberian BR1M bukan diilhamkan beliau atau mana-mana ahli politik tetapi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang mencadangkan kaedah subsidi bersasar kerana dilihat memberi manfaat kepada golongan benar-benar memerlukannya berbanding subsidi pukal yang mempunyai banyak ketirisan.
Kata beliau, Bank Dunia membuat teguran bahawa Malaysia sepatutnya menukar dasar dan BNM mencadangkan bantuan tersebut dalam satu taklimat sebelum pembentangan Bajet 2011.
“Ia tiada kaitan dengan soal politik kepartian tetapi perubahan dasar yang difikirkan sudah sampai masanya untuk memberi manfaat lebih besar kepada rakyat dan kumpulan yang sepatutnya menerima manfaat daripada dasar kerajaan.
“Kalau orang kata kita hendak membeli undi, itu tidak betul sebab asal usulnya BNM yang cadangkan.
“Kalau hendak beli undi, kita bagi kepada puak-puak kita sahaja tetapi kita bagi kepada semua termasuk di negeri pembangkang kerana penerima dipilih berdasarkan pendapatan mereka,” katanya ketika berucap melancarkan BR1M 2018 di hadapan 2,000 penerima bantuan itu di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Najib turut membidas pembangkang yang hanya pandai mengkritik pemberian BR1M tetapi tidak pula memberi cadangan berhubung kaedah lebih baik dalam menyampaikan subsidi kerana pihaknya bersedia menimbang sebarang cadangan untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Kalau nak kata ini dedak atau cash is king, ini semua mengarut sebab zaman dia dahulu tidak buat.
Zaman saya yang melaksanakan BR1M kerana kita kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, dari segi teori pula, pemberian BR1M membantu merangsang ekonomi negara apabila wang itu digunakan penerima untuk berbelanja seperti membeli barang keperluan asas.
Peningkatan perbelanjaan oleh golongan sasar setelah menerima BR1M, kata Ahli Parlimen Pekan tersebut, memberi suntikan kepada ekonomi domestik.
“Apabila permintaan bertambah, ekonomi kita pun akan berkembang. Permintaan domestik salah satu faktor untuk mengembangkan ekonomi. BR1M tidak salah dari segi teori ekonomi, ia bukan bersifat populis tetapi ada asasnya iaitu untuk mengembangkan ekonomi,” katanya.
Sumber asal: BANK NEGARA CADANG BR1M BANTU RAKYAT MEMERLUKAN - PM
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment