NAIB KETUA PEMUDA PAN DIPENJARA 8 BULAN

Posted by Kerah Lekung on Wednesday, 28 February 2018

NAIB KETUA PEMUDA PAN DIPENJARA 8 BULAN.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Naib Ketua Pemuda PAN, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar atas kesalahan menyebut kata-kata menghasut berhubung tuntutan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu siri protes jalanan, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas menolak rayuan Mohd. Fakhrulrazi, 40, yang tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 25 Ogos 2016.

Mahkamah turut menolak rayuan silang berkaitan hukuman yang difailkan oleh pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir.

Beliau dalam penghakimannya berkata, keputusan Hakim Mahkamah Sesyen terdahulu adalah selamat dikekalkan dan hukuman yang dijatuhkan adalah memadai dan tidak terlampau berat.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Mohd. Fakhrulrazi, yang juga penceramah bebas sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan selesai dan mengekalkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pada 8 September 2015, Mohd. Fakhrulrazi yang merupakan bekas bendahari Dewan Pemuda Pas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut itu di hadapan Kompleks Sogo, No. 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, pada pukul 4.30 petang, 21 Februari 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE

Sumber asal: NAIB KETUA PEMUDA PAN DIPENJARA 8 BULAN

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment