Detik pilu bagi Isa Samad?

Posted by Kerah Lekung on Tuesday, 27 February 2018

Detik pilu bagi Isa Samad?.
Tuesday, 27 February 2018
SELEPAS TIDAK DIBERI RUANG BERUCAP, ISA SAMAD HARUS SEDAR SIAPA DIRINYA DI SISI NAJIB

Semalam, dalam satu lagi program kempen PRU 14 iaitu Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, Najib Razak telah turun ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dilaporkan kira-kira 10 ribu orang hadir dalam program tersebut. Selain ahli UMNO, ahli parti komponen dan rakyat biasa, sudah tentu turut dikerah hadir ialah pegawai kerajaan, guru dan tidak terkecuali pihak tentera serta juga penuntut beberapa kolej yang terdapat berhampiran pekan itu.

Program tersebut adalah anjuran kerajaan negeri, UMNO Negeri Sembilan dengan kerjasama UMNO Teluk Kemang yang diketuai oleh Isa Samad kerana Port Dickson terletak dalam kawasannya. Dalam erti kata lain, UMNO Teluk Kemang adalah juga tuan rumah bagi program itu.

Lebih dari itu, UMNO Teluk Kemang juga diberi tugas memastikan target kehadiran benar-benar dapat dicapai, selain turut terlibat dalam beberapa bidang persiapan yang lain.

Sebagai amalan biasa, dalam program seperti itu pemimpin yang kebiasaannya akan berucap Najib selaku Perdana Menteri, Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan Isa selaku tuan rumah.

Namun, apa yang berlaku semalam hanya Najib dan Mohamad Hassan saja yang berucap, manakala slot untuk Isa ditiadakan.

Selain Isa sendiri dilaporkan memang sudah bersedia untuk berucap, malah turut memberitahu kepada beberapa kenalannya tentang antara perkara yang mahu diucapkannya,  Mohamad Hassan juga dikatakan "memperingatkan" Pengerusi SPAD itu beberapa hari sebelumnya bahawa mereka akan sama-sama berucap di Port Dickson nanti.

Tetapi, kenapa Isa tiba-tiba diketepikan daripada berucap?

Adakah ia kehendak Najib atau "permainan"  oleh Mohamad Hassan?

Apakah Isa tidak diberi ruang berucap kerana Najib tidak mahu lagi mendengar suara bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang sebelum ini pernah direman SPRM berhubung siasatan pembelian hartanah Felda dan kesnya masih lagi belum diputuskan sama ada akan didakwa atau sebaliknya?

Adakah juga ini merupakan petanda bahawa karier Isa sudah di penghujung jalan dan tempatnya sebagai Ahli Parlimen Jempol akan diganti dengan pemimpin yang lain?

Jika ia  suatu "permainan" oleh Mohamad Hassan pula, apakah beliau berani melakukannya tanpa restu daripada Najib?

Jika Najib masih mengingati dan menghargai jasa Isa sebagai rakan lama yang pernah berbudi kepadanya, terutama dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang misalnya, beliau tentu saja boleh meminta agar Isa diberikan ruang untuk menyampaikan ucapannya.

Lebih-lebih lagi Isa bukan saja merupakan Ketua UMNO Teluk Kemang dan Pengerusi SPAD, sebuah agensi Persekutuan, tetapi juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun.

Apakah Najib sudah melupai Isa, ibarat kata pepatah, habis madu, sepah dibuang?

Apa pun, dengan perkembangan ini, Isa seharusnya sudah boleh menilai siapa dirinya di sisi Najib sekarang ini. 

Isa bukan saja pasti akan digugurkan sebagai calon dalam pilihanraya akan datang, bahkan jika Najib terus ketandusan sokongan untuk meraih kemenangan dalam piliharaya akan datang lantaran kian dihimpit oleh kegagahan Tun Mahathir Mohamad, tidak mustahil beliau juga akan "dikambing-hitamkan" dengan kes Felda yang melibatkannya dirinya  akan dipercepatkan untuk di bawa ke mahkamah. 

Kepada Isa, bersedialah  mental dan fizikal bermula detik semalam yang menyedihkan itu. (ShahbudinHusin 27/02/2018).

Posted by Shahbudin Husin at 11:40 

Sumber asal: Detik pilu bagi Isa Samad?

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment