Siew Keong tidak gentar dengan gertakan DAP

Posted by Kerah Lekung on Tuesday, 27 February 2018

Siew Keong tidak gentar dengan gertakan DAP.
Gertakan DAP untuk menewaskan Datuk Seri Mah Siew Keong dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hanyalah impian kosong semata-mata.

Presiden GERAKAN itu berkata, parti berusia lebih 50 tahun itu bukan bergantung kepada seorang individu, sebaliknya mempunyai ramai pemimpin berkaliber dan berupaya meneruskan perjuangan menerusi wadah parti berkenaan.

“Walaupun DAP meramalkan saya kalah dalam PRU14, GERAKAN tidak akan mati kerana sama ada saya kalah atau menang, parti ini akan meneruskan perjuangan bagi membela nasib rakyat Teluk lntan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Tahun Baharu Cina hari ini.

Beliau mengulas dakwaan DAP Perak yang mendakwa ingin memastikan kekalahan Siew Keong di Parlimen Teluk Intan dan menyifatkan kemenangan DAP di situ bakal menguburkan GERAKAN.

Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, gertakan DAP itu tidak menggentarkan semangatnya, sebaliknya akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan dalam PRU14.

“Sebagai anak kelahiran Teluk Intan, saya tidak akan meninggalkan kawasan sekiranya mendapat restu pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat.

“Walaupun pernah dikalahkan calon DAP pada PRU-12 (2008) dan PRU-13 (2013), ia tidak mematahkan semangat saya terus bertanding di Teluk Intan.

“Teluk Intan istimewa kerana ia satu-satunya kerusi majoriti bukan Melayu yang dirampas BN daripada DAP menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2014.

“Demografi pengundi di sini ialah Cina sebanyak 42 peratus, Melayu (30 peratus) dan India (19 peratus), saya tewas dalam PRU-12 dengan majoriti 1,470 undi dan dalam PRU-13, saya tewas dengan majoriti 7,313 undi.

“Pada PRK 2014, saya merampas kembali Teluk Intan daripada DAP dengan majoriti tipis 238 undi,” katanya.

Sumber asal: Siew Keong tidak gentar dengan gertakan DAP

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment