Umat Islam Wajib Pertahan Kedudukan Agama

Posted by Kerah Lekung on Wednesday, 28 February 2018

Umat Islam Wajib Pertahan Kedudukan Agama.
KUALA LUMPUR – “Rasulullah S.A.W menerima konsep Tahaluf (bekerjasama) dengan pihak lain dalam menentang kezaliman tanpa meninggalkan perkara prinsip aqidah Islam, sempadan syariat dan akhlaknya,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, konsep Tahaluf dengan pihak lain bagaimanapun diharamkan dan dibatalkan apabila pihak terlibat tidak lagi menghormati perkara asas tersebut, melakukan perkara maksiat atau tindakan mencetuskan permusuhan dan mengundang apa sahaja keburukan.

Justeru, katanya, ahli PAS hendaklah berpegang teguh dan istiqamah kepada Perlembagaan PAS yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi dan mentafsirkannya dalam amalan politik semasa dengan teguh dan istiqamah, tanpa hanyut atau sesat daripada dasar dan matlamat Islamnya.

“Keputusan telah dibuat juga dengan membatalkan Tahaluf bersama Pakatan Rakyat berdasarkan hukum Syariat. Kini diperkenalkan pula konsep Ta’awun yang lebih terbuka dan tidak terikat dengan syarat-syarat yang lebih ketat seperti Tahaluf,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Abdul Hadi, Ta’awun membolehkan kerja yang bersifat kebajikan yang diterima oleh semua pihak dan pelaksanaannya adalah tolong menolong dalam perkara yang baik dan menentang segala kemungkaran.

Kata beliau, pendekatan itu boleh dilaksanakan dalam semua keadaan sama ada menjadi pembangkang atau tidak semestinya kalau berkuasa memerintah negeri atau negara.

Sebagai contoh, katanya, PAS mengambil pendirian berkecuali iaitu tidak membangkang dan tidak juga menyokong terhadap Bajet berbanding menjadi pembangkang yang tidak melulu.

“Ia kerana di dalam Bajet itu ada perkara baik yang menjadi keperluan rakyat dan jentera kerajaan yang mengurus kehidupan secara umum dan menjaga keamanan dan keselamatan negara,” katanya.

Selain itu, katanya, kejayaan awal membawa usul persendirian RUU 355 adalah hasil keterbukaan boleh berbincang, bukan sekadar berbahas dan berdebat sahaja serta bersama dalam membela Palestin dan Aqsa dan membantu mangsa banjir.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kerjasama dalam perkara mempertahankan kedudukan Islam dan umat dalam arena politik negara adalah kewajipan setiap penganut Islam tanpa mengira kefahaman politik, termasuk orang Islam paling jahil.

“Kedudukannya sama apabila negara diancam oleh musuh luar yang mahu menjajah semula. Oleh sebab itu, adalah haram bersama musuh itu dan wajib bersama menghadapinya dan mempertahankan agama dan negara walaupun kita tidak bersetuju dengan kerajaan yang ada,” katanya.

Sementara itu, katanya, PAS tidak bersama dengan komunis yang mengangkat senjata menentang penjajah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menentang komunis itu, malah menyertai Kerajaan Campuran selepas 13 Mei 1969 dan menubuhkan BN 1974 demi menyelamatkan negara dalam keadaan darurat.

“Perhatikan kalangan yang tidak bersama PAS atau keluar PAS kerana menentang pendekatan yang telah diambil sejak dahulu yang menubuhkan parti lain dan menjadikan PAS tempat persinggahannya sahaja kerana dianggap mustahil mendapat kemenangan bersama PAS,” katanya. 

Sumber asal: Umat Islam Wajib Pertahan Kedudukan Agama

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment