RINGGIT AKAN CECAH 3.70 HUJUNG TAHUN 2018

Posted by Kerah Lekung on Sunday 1 April 2018

RINGGIT AKAN CECAH 3.70 HUJUNG TAHUN 2018.
Ringgit dijangka mencecah antara 3.70 dan 3.75 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh asas ekonomi kukuh negara.

Ketua Pakar Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Selatan, Standard Chartered Bank, Edward Lee berkata pertumbuhan global telah meningkat berbanding beberapa tahun lepas disebabkan penurunan harga komoditi, dengan pertumbuhan pasaran pesat membangun adalah selari dengan pasaran maju.

“Kita mengalami satu tempoh apabila pasaran pesat membangun tidak mencatat prestasi begitu baik kerana asas-asas ekonomi. Kini, pasaran ini kembali mencatat pertumbuhan, justeru itu, adalah sesuatu yang positif bagi aset pasaran pesat membangun,” katanya semalam.

Beliau berkata kepada pemberita di luar perbincangan panel mengenai kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sempena pengumuman Laporan Tahunan 2017 serta Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 yang dikeluarkan BNM baru-baru ini, serta ekonomi Malaysia.

Forum itu adalah anjuran bersama Persatuan Ekonomi Malaysia dan BNM.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Dasar Monetari BNM Dr Norhana Endut; Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Bhd Tan Sri Dr Mohd Munir Majid; dan Pakar Ekonomi Kanan bagi Kemiskinan dan Ekuiti Bank Dunia Kenneth Simler.

Lee berkata berdasarkan penilaian pihaknya, dolar AS secara amnya masih terlebih nilai dan berpendapat, ringgit merupakan antara mata wang Asia yang berada di bawah nilai berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, prospek perang perdagangan antara China dan AS yang serius boleh menjejaskan asas ekonomi pasaran pesat membangun.

“Perang perdagangan tidak menguntungkan mana-mana pihak, termasuk AS. Daripada perspektif itu, kami berpendapat (situasi itu) akan menjadi lebih terkawal,” katanya.

Beliau menjelaskan Malaysia, bagaimanapun, akan mengalami beberapa kesan limpahan positif daripada perang perdagangan itu.

“Dari segi beberapa eksport utama dari China ke AS, anda akan melihat Malaysia juga menjadi antara pengeksport utama. Ini menunjukkan Malaysia juga mungkin mempunyai kepakaran dalam membekalkan barangan yang sama kepada AS.

“Dan, sekiranya tarif disasarkan hanya kepada China, mungkin pelanggan AS perlu mendapatkan sumber kapasiti dan pengeluaran yang lain. (Dengan ini) Malaysia boleh meraih beberapa kesan limpahan,” katanya. – BERNAMA

Sumber asal: RINGGIT AKAN CECAH 3.70 HUJUNG TAHUN 2018

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment