Muhyiddin Akui Kesilapan PPBM, Mahathir Tuding Jari Salahkan Kerajaan dan ROS

Posted by Kerah Lekung on Saturday, 7 April 2018

Muhyiddin Akui Kesilapan PPBM, Mahathir Tuding Jari Salahkan Kerajaan dan ROS.
PETALING JAYA – Di sebalik kegagalan mematuhi pelbagai peraturan dan perlembagaan parti sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadikan kerajaan sebagai ‘kambing hitam’ susulan pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini.

Sebelum ini, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengaku parti itu tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara dituntut ROS iaitu mengemukakan laporan berkaitan perjalanan mesyuarat peringkat cawangan dan bahagiannya.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pula mengesahkan PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan kerana struktur organisasinya di peringkat akar umbi, masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini.

Malah Dr Mahathir selaku Pengerusi PPBM, mengaku parti terbabit, tidak mempunyai ahli peringkat cawangan, selain bahagian parti hanyalah dalam jumlah yang kecil.

Walaupun mengaku pelbagai masalah menyelubungi PPBM, namun Dr Mahathir masih mengaitkan pembubaran parti itu dengan kerajaan dan ROS.

“Kesannya bukan itu sahaja (pembubaran PPBM), malah Pakatan Harapan sebagai satu pakatan juga tidak dapat didaftarkan kerana dalam kalangan anggotanya ada parti yang tidak sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Perniagaan dan Ekonomi Nasional anjuran Minorities Right Action Party (MIRA) di Dewan Sivik di sini hari ini.

Dalam sidang media petang ini, ROS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, berkata susulan perintah itu, PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen diperlukan dan jika ada rayuan dan ditolak, PPBM akan dibatalkan pendaftarannya.

Beliau berkata, PPBM juga tidak boleh menggunakan nama dan logo parti sepanjang tempoh perintah pembubaran sementara itu serta tidak dibenarkan melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan parti.

ROS mendapati PPBM gagal menyerahkan sepenuhnya segala butir maklumat dan dokumen yang diminta sebagaimana notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14(2) akta sama pada 28 Februari lalu.

“Berdasarkan Seksyen 14(6) Akta Pertubuhan 1966, sekiranya PPBM dalam tempoh tidak lebih 30 hari dari tarikh perintah pembubaran sementara ini dikeluarkan, menyerahkan butir maklumat dan dokumen seperti diperintahkan, ROS boleh membatalkan perintah pembubaran sementara berkenaan.

“Berdasarkan Seksyen 14 (7) akta sama, selepas tamat tempoh 30 hari itu, sekiranya ada rayuan dan selepas dari tarikh jika rayuan itu ditolak, maka Perintah Pembubaran Sementara ini akan menjadi mutlak dan PPBM dibatalkan pendaftarannya,” katanya. – BH

Sumber asal: Muhyiddin Akui Kesilapan PPBM, Mahathir Tuding Jari Salahkan Kerajaan dan ROS

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment