Keberkesanan Jab. Kastam uruskan GST marahkan penipu cukai

Posted by Kerah Lekung on Monday 2 April 2018

Keberkesanan Jab. Kastam uruskan GST marahkan penipu cukai.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji langkah berkesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sepanjang melaksanakan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015.

Timbalan Perdana Menteri berkata, agensi itu tidak wajar dipersalahkan atas tindakan tegas dalam melaksanakan kutipan GST sejajar usaha memperkukuhkan ekonomi negara.

“Ada yang cakap GST sebabkan kos sara hidup makin tinggi, saya nak tanya negeri mana yang barang semakin turun?

“Ertinya barang naik bukan sebab GST, GST sebenarnya melengkapkan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) yang dilaksanakan sebelum ini.

“Mereka yang marah GST ini adalah yang mahu lari daripada cukai, dulu dia tipu sekarang tidak boleh tipu.

“GST adalah sistem percukaian paling berkesan yang dilaksanakan. GST di negara ini hanya enam peratus berbanding negara lain sehingga 22.5 peratus, maka saya menyokong tindakan Kastam dalam kejayaan melakukan kutipan ke arah mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berucap merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat dan Kem Motivasi anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kamatchy di Bagan Datuk hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam.

Program Khidmat Bakti Masyarakat dianjurkan JKDM itu bertujuan mendekati dan memberi kesedaran kepada masyarakat terutama pelajar serta ibu bapa dalam membanteras aktiviti penyeludupan, selain pendedahan mengenai GST.

Sumber asal: Keberkesanan Jab. Kastam uruskan GST marahkan penipu cukai

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment