Parlimen Kepala Batas merupakan antara salah satu kerusi yang mahu dirampas oleh Pakatan Harapan, malah pakatan pembangkang itu yakin kononnya mampu melakar sejarah serta membuat kejutan di kawasan Parlimen tersebut pada pilihan raya umum yang semakin hampir tiba tidak lama lagi.
Bagaimanapun, UMNO Pulau Pinang yakin Parlimen Kepala Batas akan terus kekal menjadi kubu kuat UMNO. Kerusi Parlimen Kepala Batas tetap akan menjadi milik Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Keyakinan itu berdasarkan kepada ‘DNA Pak Lah’ (bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang menjadi kekuatan sehingga sekarang.
Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pembangunan yang telah dibawa oleh Tun Abdullah sebelum ini diteruskan sehingga hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, ‘DNA Pak Lah’ menjadi tradisi UMNO Kepala Batas dalam membela penduduk di kawasan tersebut.
“Kalau kita pandang depan, belakang, kiri, kanan, atas dan bawah tak ada satu pun yang tidak ada kaitan dengan Tun Abdullah.
“Pembangunan yang dibawa macam-macam. Jadi, ini adalah benda yang sebenarnya menjadi kekuatan dan suntikan kepada UMNO Kepala Batas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat rumah mangsa ribut, di Kepala Batas, semalam.
Reezal Merican juga berkata, dalam sepanjang tempoh lima tahun, tiga masjid dan lima sekolah agama telah dibina di kawasan Kepala Batas.
“Saya ni lebih bertanggungjawab untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh beliau. Alhamdulillah saya dapat laksanakannya dalam tempoh lima tahun ini sebagai Anggota Parlimen Kepala Batas,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemimpin UMNO itu berkata, sudah menjadi amalan UMNO di kawasan ini untuk membuat sesuatu perkara secara istiqamah dengan mendekati dan mendengar masalah penduduk di kawasan berkenaan.
Dalam PRU-13 yang lalu, pertandingan dua penjuru bagi Parlimen Kepala Batas menyaksikan kemenangan bagi BN yang berjaya mendapat sebanyak 25,128 undi.
Sementara calon PAS pula yang ketika itu berada dalam Pakatan Rakyat hanya berjaya mendapat sebanyak 20,952 undi. –Utaranews.com
Sumber asal: KEPALA BATAS SUKAR DIGUGAT PAKATAN HARAPAN , TERUS JADI KUBU KUAT BN PRU14
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment