Dipanggil ‘YB’ selepas tular poster 5,000 coli percuma ...Bahaya Buat Fitnah

Posted by Kerah Lekung on Saturday 14 April 2018

Dipanggil ‘YB’ selepas tular poster 5,000 coli percuma ...Bahaya Buat Fitnah.
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang wajahnya terpampang pada poster palsu kononnya 5,000 baju dalam wanita mahu diedarkan secara percuma pada 15 April ini terkejut apabila tiba-tiba dipanggil ‘YB’ (Yang Berhormat).

Tambah mengejutkan apabila dia turut dipanggil ‘Datuk Seri’, ‘Ustaz’ dan ‘Haji’ selepas gambarnya yang diedit pada poster yang tular memaparkan wajahnya dengan catatan nama yang dikenali sebagai ‘Dato Sri Hj Ustaz Amran bin Nordin’ dengan jawatan yang didakwa sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh.

“Itu memang gambar saya, itu nama saya. Tapi saya tiada kena-mengena dengan poster mahupun pemberian baju dalam tu.

“Saya bukan Datuk Seri, Haji atau Ustaz... saya belum pun pergi haji dan umrah. Poster tu palsu,” kata Amran Nordin, 43, yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang di Kulim, Kedah, kepada mStar Online pada Khamis.

Dengan slogan “Jom pi periksa dada, terus dapat sarung dada”, maklumat pada poster itu mendakwa mahu mengedarkan 5,000 baju dalam percuma pada majlis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 15 April ini.

Fakta itu sama sekali tidak benar kerana poster yang sebenarnya adalah pemberian 5,000 cermin mata secara percuma, dan Pengerusi Barisan BN Permatang Pauh adalah Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Amran yang berasal dari Bayan Baru, Pulau Pinang berkata, pada awalnya dia menyangka poster yang tular sejak petang Rabu itu sebagai satu bahan gurauan tetapi kemudian memutuskan untuk membuat laporan polis pada lewat malam Rabu.

Sumber asal: Dipanggil ‘YB’ selepas tular poster 5,000 coli percuma ...Bahaya Buat Fitnah

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment