BILA NASIHAT PENASIHAT UMUM DIPERTIKAI: RENDAHNYA MARTABAT ULAMA’ DI DALAM AMANAH

Posted by Kerah Lekung on Tuesday 3 April 2018

BILA NASIHAT PENASIHAT UMUM DIPERTIKAI: RENDAHNYA MARTABAT ULAMA’ DI DALAM AMANAH.
Menarik memerhatikan perkembangan yang berlaku di dalam AMANAH sehubungan dengan isu perkataan “kalau saya Tuhan” oleh Pengerusi Kanun AMANAH merangkap Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin.

Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang, telah memberikan nasihat beliau pada 31 Mac lalu yang menyebut melafazkan perkataan itu “boleh menjejaskan aqidah tauhid sesiapa yang melakukannya”, di mana penelitian ke atas rakaman video mendapati Hanipa “terlibat melafazkan perkataan mentasybihkan makhluk dengan Tuhan yang boleh menjejaskan aqidah tauhid” sekali gus memerlukan Hanipa “bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah yang Maha Pengampun”.

Di pihak Hanipa sendiri, beliau, yang sebelumnya menegaskan beliau “tak akan tarik balik kenyataan (beliau) dan "(he is) insyaAllah ready to fight back even alone" dan beliau “tidak teragak-agak untuk saman golongan agama yang jatuhkan hukuman ke atas (beliau) secara tidak adil”, menjadi sedikit kendur pagi ini ekoran nasihat Ustaz Ahmad ini dengan menyebut “secara umumnya, kenyataan (Ustaz Ahmad) (beliau) lihat lebih fair dan munasabah” dan memberi perakuan bersyarat “tidak ada masalah untuk akur dengan saranan (Ustaz Ahmad) jika itu mampu meredakan keresahan pihak pihak tertentu”.

Bagaimanapun, masih jelas di dalam kenyataan Hanipa ini unsur-unsur tidak puas hati dengan nasihat Ustaz Ahmad kerana beliau menyebut beliau “ada "some reservations" dengan kenyataan (Ustaz Ahmad)” dan beliau “musykil kerana (Ustaz Ahmad) seakan-akan tidak lihat konteks sebenar ucapan (beliau) itu”.

Lebih lantang ialah Naib Presiden AMANAH merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, yang petang ini mengeluarkan kenyataan bahawa adalah tidak wajar pihak yang berstatus agamawan menyifatkan ucapan Hanipa sebagai “melanggar aqidah”, “ungkapan kata-kata (Hanipa) itu bagi (beliau) tiada isu aqidah”, “(beliau) harap isu ini jangan dijadikan bahan mana-mana pihak mempertikaikan kejelasan aqidah (Hanipa)” dan “ahli AMANAH dinasihatkan jangan terheret dengan asakan ke atas (Hanipa) dengan menggunakan isu aqidah pada ungkapannya”.

Sama ada beliau berniat begitu atau tidak, pada hakikatnya kenyataan Dr Mujahid ini adalah tempelakan terbuka ke atas Ustaz Ahmad kerana sangat jelas bahawa Dr Mujahid menyebut ucapan Hanipa itu “tiada isu aqidah” dan “tidak melanggar aqidah” sedangkan Ustaz Ahmad dua kali menyebut ucapan Hanipa itu “boleh menjejaskan aqidah tauhid”.

Malah, sama ada beliau sedari atau tidak, kenyataan Dr Mujahid bahawa “kami (dari AMANAH) bersumpah untuk tidak menjadikan agama sebagai bahan-bahan politik murahan melalui mudah menghukum dan melabelkan orang” seolah-olah menuduh Ustaz Ahmad telah “menjadikan agama sebagai bahan-bahan politik murahan”.

Tidak mengejutkan sebenarnya sikap Dr Mujahid ini memandangkan beliau di dalam buku-buku “Menuju PAS Baru” dan “Rejuvenasi PAS” dan pada tahun-tahun 2010 dan 2012 lagi telah menggesa PAS supaya menggantikan istilah “Kepimpinan Ulama’” yang kononnya menggambarkan ortodoksi dan eksklusiviti dengan istilah lain yang kononnya bersifat lebih inklusif seperti “Kepimpinan Berkebajikan” atau “Kepimpinan Sejagat” selain supaya menggantikan Majlis Syura Ulama’ dengan Majlis Perundingan Parti.

Kasihannya melihat Ustaz Ahmad diperlakukan begini, tetapi begitulah nampaknya nasib ulama’ di dalam AMANAH.

Dr. Kamarul Yusoff

Sumber asal: BILA NASIHAT PENASIHAT UMUM DIPERTIKAI: RENDAHNYA MARTABAT ULAMA’ DI DALAM AMANAH

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment