Ada cubaan hadkan kuasa ulama dalam PAS, dedah Hadi

Posted by Kerah Lekung on Monday 16 April 2018

Ada cubaan hadkan kuasa ulama dalam PAS, dedah Hadi.
ALOR SETAR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan terdapat usaha menghadkan kuasa Majlis Syura Ulama oleh pihak tidak bertanggungjawab yang kini memimpin Amanah beberapa tahun lalu bagi memperkukuhkan kerjasama dengan DAP.

Presiden PAS itu berkata, pihaknya mendapati golongan terbabit cuba melakukan pindaan perlembagaan parti melalui sebuah jawatankuasa yang bernaung di bawah Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi (LUHAM) Pas.

“Tindakan mereka dikesan dan mendapati ia sama sekali bercanggah dan mencabuli Perlembagaan parti bahawa Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa tertinggi yang boleh membatalkan sesuatu keputusan yang diputuskan di peringkat Pusat.

“Mereka ini cuba menyentuh satu dasar yang dipegang PAS sejak sekian lama bagi membolehkan  kerjasama dengan DAP dapat diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Pokok Sena di Kompleks PAS Pokok Sena di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin.

Menurutnya, kumpulan terbabit cuba membawa usul pindaan perlembagaan berkenaan tetapi usul tersebut ditolak sebelum Muktamar PAS 2015.

“Usul terbabit bertujuan menghadkan kuasa Majlis Syura Ulama dengan hanya boleh menasihat, bukannya seperti sekarang iaitu membuat keputusan. Malah cubaan mereka untuk memperoleh kuasa juga gagal apabila kalah apabila ditolak perwakilan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hadi turut memberitahu, calon PAS untuk Pilihan Raya Umum ke-14 bagi seluruh negara akan diumumkan serentak pada 19 April.
Sumber asal: Ada cubaan hadkan kuasa ulama dalam PAS, dedah Hadi

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment