170 keluarga Kampung Padang Jawa bakal hilang tempat tinggal

Posted by Kerah Lekung on Thursday, 5 April 2018

170 keluarga Kampung Padang Jawa bakal hilang tempat tinggal.
SHAH ALAM: Sebanyak 170 keluarga di Kampung Padang Jawa berdepan kehilangan tempat tinggal mereka selepas mendakwa diusir di kawasan penempatan yang duduki mereka sejak 50 tahun lalu.

Ekoran itu sekumpulan 50 penduduk terbabit bertindak melakukan protes dan menghantar memorandum kepada kerajaan negeri dan mahu berjumpa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Memorandum itu bagi meminta campur tangan kerajaan negeri dalam menghalang tindakan pengusiran oleh pemaju yang memiliki tapak yang didiami sejak tahun 1970-an lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Prihatin Lot 626 & 1416 Padang Jawa, Azman Mohd Taib mendakwa, generasi pertama yang mula meneroka kawasan itu telah menandatangani perjanjian sewaan dengan pemilik tanah, namun secara tiba-tiba terhenti tanpa diketahui punca sebenar.

Sebaliknya, mereka dikatakan telah menerima notis pengusiran selain dimaklumkan tanah tersebut kini dibeli oleh syarikat pemaju, Ehsan Bina Sdn.Bhd.

“Pihak pemaju mula mengusir kami dengan memberikan notis sejak 2013 dan mahkamah telah memerintahkan agar penduduk mengosongkan kawasan, namun kita telah membuat rayuan dan mahkamah membenarkan rayuan kami.

“Bagaimanapun, pemaju sekali lagi membuat rayuan di mahkamah tetapi ditolak. Ini menunjukkan bahawa penduduk bukan penceroboh dan mereka mempunyai hak mendapatkan perumahan alternatif mahupun pampasan yang sewajarnya," katanya ketika ditemui di perkarangan pintu masuk utama Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Selepas lebih sejam, memorandum berkenaan berjaya diserahkan kepada Pegawai di Pejabat Menteri Besar, Mohd Elmi Syafiq Abdul Rahman.

Azman berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan kelulusan pembinaan projek selain penduduk sudah tinggal di situ dari generasi pertama sehingga generasi keempat.

“Kita kesal dengan kerajaan negeri kerana membiarkan pemaju mengusir penduduk secara paksaan selain memandangkan sepi notis pemberitahuan untuk berjumpa dengan pihak bertanggungjawab di Pejabat Menteri Besar minggu lalu. Penduduk bukan mahu membantah tetapi meminta kerajaan negeri supaya campur tangan dalam urusan ini," katanya.

Beliau berkata, isu itu bermula sejak 2012 apabila sebuah syarikat pemaju datang dan mendakwa tanah itu milik mereka dan sejak itu pihak berkenan berusaha untuk mengusir penduduk dengan berbagai cara termasuk notis, arahan pindah dan tindakan mahkamah.

Sumber asal: 170 keluarga Kampung Padang Jawa bakal hilang tempat tinggal

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment