SALAHKAN SPR: PAKATAN HARAPAN MAIN ‘WAYANG KULIT’

Posted by Kerah Lekung on Friday, 6 April 2018

SALAHKAN SPR: PAKATAN HARAPAN MAIN ‘WAYANG KULIT’.
Tindakan Pakatan Harapan diketuai DAP menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas larangan penggunaan gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai ketua pakatan itu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanyalah ‘wayang kulit’ semata-mata untuk menanam persepsi negatif terhadap kerajaan.

Dr. Mahathir yang berpengalaman mentadbir negara selama 22 tahun sepatutnya faham keperluan perundangan dalam soal penubuhan parti baharu dan bukannya terkontang-kanting untuk memenuhi syarat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tindakan pemimpin Pakatan Harapan itu adalah demi kepentingan politik mereka semata-mata dengan tujuan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap SPR.

Katanya, kegagalan Pakatan Harapan yang semakin bercelaru untuk memenuhi syarat pendaftaran gabungan parti itu adalah punca utama mereka tidak dibenarkan menggunakan gambar Dr. Mahathir untuk berkempen.

“DAP, PKR dan PAN telah berdaftar dengan ROS namun secara berasingan dan bukannya sebagai parti gabungan. PPBM pula masih gagal memenuhi syarat pendaftaran dan ini sekali gus menjadikan Pakatan Harapan sebagai gabungan parti politik yang masih belum sahih pendaftarannya dari segi undang-undang.

“Kalau syarat pendaftaran masih belum dipenuhi, Pakatan Harapan tidak boleh terlibat dalam PRU-14 sebagai sebuah gabungan seperti mana Barisan Nasional (BN),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, setiap keputusan yang dilakukan SPR tidak dipengaruhi mana-mana pihak dan dilakukan secara teliti tanpa mengambil kira perbezaan politik.

Katanya, sekiranya Pakatan Harapan khususnya PPBM berkempen dengan meletakkan bendera yang mempunyai logo bunga raya, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai hak untuk menurunkan bendera tersebut.

“Pakatan Harapan perlu mendapat kelulusan daripada ROS sebagai sebuah gabungan parti yang sah. Selepas itu, barulah SPR akan membenarkan Pakatan Harapan bertanding dalam PRU-14.

“Kalau tidak, PBT akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menggunakan logo Pakatan Harapan ataupun PPBM semasa kempen dilakukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE-

Sumber asal: SALAHKAN SPR: PAKATAN HARAPAN MAIN ‘WAYANG KULIT’

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment