Pengerusi BN negeri dapat lampu hijau umum calon PRU14

Posted by Kerah Lekung on Friday 20 April 2018

Pengerusi BN negeri dapat lampu hijau umum calon PRU14.
BAGAN DATUK: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi kuasa kepada Pengerusi BN negeri untuk mengumumkan calon kerusi Parlimen dan DUN masing-masing yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tarikh yang sesuai untuk pengumuman calon itu dibuat terpulang kepada budi bicara Menteri Besar dan Ketua Menteri terlibat.

Menurutnya, bagi negeri Perak sendiri, tarikh untuk pengumuman calon tersebut terpulang kepada keputusan Datuk Seri Dr. Zambry Abd.Kadir selaku Pengerusi BN negeri.

“Saya yakin dengan keputusan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN untuk memberikan kuasa kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang menjadi pengerusi BN negeri-negeri untuk mengumumkan calon parlimen dan DUN bagi negeri yang berkenaan.

“Kami (pucuk kepimpinan BN) telah menyerahkan tarikh yang sesuai kepada mereka, jadi kita serahkan kepada mereka untuk buat keputusan tanpa perlu ada ‘hint’ daripada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit 4, Sungai Sumun dekat sini hari ini.

Yang turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan penyandang kerusi DUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Zakaria. 

Sumber asal: Pengerusi BN negeri dapat lampu hijau umum calon PRU14

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment