Azimat, Tangkal Palsu ‘Tsunami Melayu’ Jadi Strategi Politik Makan Diri Tun M

Posted by Kerah Lekung on Friday, 6 April 2018

Azimat, Tangkal Palsu ‘Tsunami Melayu’ Jadi Strategi Politik Makan Diri Tun M.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin percaya penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai tiadanya Tsunami Melayu dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti berdasarkan pemerhatian dan kajian politik yang komprehensif.

Bahkan menurutnya, Tsunami Melayu hanyalah azimat dan tangkal palsu yang dicipta oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) (yang baharu sahaja dibubarkan sementara penubuhannya hari ini).

“Tangkal politik ini sengaja dibuat bagi memberikan sebab untuk PPBM mengepalai Pakatan Harapan. Sayangnya, tangkal dan ubat pengasih politik ini melekat kepada Dap dan PKR.

“Tun M, Muhyiddin dan Mukhriz; gabungan ‘3M’ dalam PPBM patut berasa malu dan canggung untuk bercakap mengenai ‘tsunami Melayu’, kerana ianya menjadi omongan dan janji kosong.

“’3M’ ini sudah menjadi liabiliti kepada Pakatan,” katanya dalam satu kenyataan terbaharu di laman facebooknya di sini, hari ini.

Tambah Shaiful lagi, Rafizi Ramli Naib Presiden PKR sendiri mengakui Mahathir dan PPBM gagal mencipta tsunami yang diharapkan.

“Kajian yang dilakukan PKR sendiri mengesahkan “tsunami Melayu” bukan sahaja tidak akan berlaku, malah menjadi senjata makan tuan kepada PH (Pakatan Harapan).

“Ini adalah petanda dan nada kecewa PKR terhadap PPBM,” jelasnya lagi.

Justeru tegas Shaiful lagi, jangan disamakan suasana PRU14 dengan pilihan raya sebelumnya.

“Tsunami pengundi Cina berlaku dalam suasana yang cukup berbeza. Pengundi berbangsa Cina tidak nampak ‘aura kepimpinan’ dalam parti komponen.

“Tsunami Melayu tidak mungkin berlaku kerana UMNO berdiri teguh, tegap dan kukuh di bawah kepimpinan Najib Razak. Pengundi Melayu akan memberikan mandat besar agar keutuhan politik ini dikekalkan,” ujarnya.

Bahkan menurutnya teori geografi mengatakan sebaik tsunami berlaku dan mencecah daratan, kekuatan dan arus ombaknya akan melemah dan merosot.

“Tsunami politik sudah berlaku pada PRU13. Ianya tidak akan berulang malah semakin longlai dan lembam,” tegasnya.

Oleh yang demikian, Shaiful yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok amat yakin kerjasama politik PH akan lumpuh selepas PRU14.

“Mimpi indah mereka akan musnah. Janji politik mereka akan runtuh. Ribut politik dalaman PH akan menjadi punca kejatuhan pakatan politik longgar tersebut,” katanya.

Sebagai rekod, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) hari ini mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM, memberikannya tempoh 30 hari untuk melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.

Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 yang menyebabkan ahli parti tersebut tidak dibenarkan menggunakan nama, logo dan melaksanakan aktiviti berkaitan parti dalam tempoh 30 hari pembubaran sementara itu.

Surayati berkata pembubaran sementara itu dikeluarkan susulan kegagalan PPBM menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir-butir maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta menerusi notis statutori di bawah Seksyen 14 (2) yang dikeluarkan kepada parti itu pada 28 Feb. – Media UMNO.

Sumber asal: Azimat, Tangkal Palsu ‘Tsunami Melayu’ Jadi Strategi Politik Makan Diri Tun M

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment