PAKATAN SENGAJA MENGHASUT RAKYAT WALAUPUN TAHU AMALAN PELEPASAN CUKAI PROJEK KERAJAAN

Posted by Kerah Lekung on Friday 20 April 2018

PAKATAN SENGAJA MENGHASUT RAKYAT WALAUPUN TAHU AMALAN PELEPASAN CUKAI PROJEK KERAJAAN .




– Sikap pemimpin pembangkang yang suka mengelirukan rakyat dengan memanipulasi isu adalah satu sifat yang tidak bertanggungjawab, bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab Aziz Kaprawi.
Lebih memburukkan keadaan, tindakan mereka itu tidak lain dan tidak bukan semata-mata mahu membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), jelas Timbalan Menteri Pengangkutan itu.
Aziz memberi reaksi demikian ketika mengulas mengenai isu pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang hebat diperkatakan oleh pemimpin pembangkang baru-baru ini, seolah-olah kerajaan memberi pengecualian ke atas sebuah syarikat daripada negara luar.
“Akibat daripada apa yang diperkatakan tersebut, terdapat segelintir rakyat yang terkeliru dengan tohmahan yang dikeluarkan oleh pemimpin parti politik pembangkang yang secara jelas mempermainkan sentimen-sentimen tertentu bagi membangkitkan kemarahan.
“Sikap tidak bertanggungjawab pembangkang ini hanyalah bertujuan kepentingan politik tanpa mengambil kira objektif serta tujuan mengapa pengecualian cukai ini berlaku.
“Lebih mengecewakan lagi apabila para pemimpin pembangkang ini seolah-olah buta atau tuli dengan amalan ini yang biasa dilakukan oleh mana-mana negara terhadap projek-projek kerajaan,” tegasnya itu dalam satu kenyataan media di laman facebooknya hari ini.
Malah, kata Pengerusi BN Sri Gading itu, amalan yang sama turut dilaksanakan sewaktu zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri yang mana terdapat pelbagai projek mega kerajaan pada waktu itu juga dikecualikan daripada cukai.
Semalam, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata pelepasan cukai kepada projek ECRL diberikan dengan mengambil kira faktor bahawa projek itu dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui syarikat pelaburan kerajaan iaitu Malaysia Rail Sdn Bhd.
Katanya, isu ini tidak seharusnya diputarbelitkan kerana kerajaan juga telah memberikan pengecualian seperti ini ketika era cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada beberapa projek besar ketika tahun 80-an iaitu sejak ketika zaman Tun Dr. Mahathir lagi.
“Di bawah Insentif Untuk Projek Perkhidmatan Diluluskan (ASP), duti import dan pengecualian cukai jualan ke atas mesin dan peralatan telah diberikan untuk projek-projek dalam sektor pengangkutan, telekomunikasi dan utiliti.
“Antara projek-projek besar yang mendapat pengecualian adalah projek yang melibatkan IPP, Terowong SMART, Stadium Bukit Jalil, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Express Rail Link (ERL), Transit Aliran Massa (MRT) dan banyak lagi projek-projek lain untuk mengurangkan impak kos projek,” kata Subromaniam.
Mengulas lebih lanjut dengan tegasnya Aziz berkata, adalah amat perlu diperjelaskan bahawa pengecualian cukai GST bukanlah terhadap syarikat China tersebut tetapi adalah terhadap Projek ECRL itu sendiri; dua entiti berbeza dan perlu dibezakan.
Jelasnya, adalah menjadi lebih malang apabila pihak pembangkang seolah-olah mahu mensabotaj projek yang bakal memanfaatkan sebilangan besar rakyat dan negara secara amnya.
“Dengan bermulanya projek ECRL ini, peluang pekerjaan khususnya untuk rakyat tempatan akan terbuka luas dan ini bakal mempertingkatkan ekonomi setempat.
“Kos pengangkutan akan menjadi lebih murah dan hasilnya harga barang juga boleh diturunkan selain peluang untuk memperkenalkan produk-produk setempat ke pasaran nasional.
“Unjuran impak KDNK hasil daripada projek ini juga adalah sejumlah RM50.1 bilion dan mampu meningkatkan pendapatan isi rumah,” ujarnya.
Tegasnya, sistem jaringan moden itu juga akan menghubungkan Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak ke Pelabuhan Klang dan ini memungkinkan kargo daripada Pelabuhan Shenzhen tidak lagi perlu melalui Singapura untuk sampai ke Pantai Barat Semenanjung, tetapi boleh diturunkan di Pelabuhan Kuantan kemudian dihantar terus ke Pelabuhan Klang.
“Ini adalah sebahagian daripada manfaat besar hasil pembinaan projek ECRL yang mana akhirnya akan menguntungkan rakyat dan negara.
“Pemimpin pembangkang sekiranya masih lagi mempunyai semangat patriotik, sayangkan negara dan ingin melihat negara dan rakyat negara ini terus maju dan membangun perlu menghentikan serta-merta segala permainan persepsi agar projek ini dapat berjalan dengan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya.
Tambahnya lagi , apa yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang tidak ubah seperti peribahasa lama ‘sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat diadang’. – Media UMNO

Sumber asal: PAKATAN SENGAJA MENGHASUT RAKYAT WALAUPUN TAHU AMALAN PELEPASAN CUKAI PROJEK KERAJAAN

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment