Begitulah kata mereka. Elok kita menghela nafas seketika

Posted by Kerah Lekung on Friday 13 April 2018

Begitulah kata mereka. Elok kita menghela nafas seketika.
Perlukah kita dengar kata mereka?
Wan Hamidi Hamid  |  Dikemaskini 13 Apr 2018, 11:15 pagi

ULASAN | Mereka kata jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menang, ia mungkin tidak akan membawa apa-apa perubahan.

Mereka kata HARAPAN sama sahaja dengan BN - jika mendapat kuasa mereka mungkin tidak akan mempedulikan rakyat.

Mereka kata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sama sahaja dengan Umno - jika menang bersama HARAPAN ia mungkin akan jadi Umno 2.0.

Mereka kata Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh dipercayai. Jika menang, dia mungkin akan memungkiri semua janjinya.

Mereka kata HARAPAN di bawah kepimpinan Dr Mahathir sama sahaja dengan Umno dan BN - jika menang mungkin akan berlaku korupsi, salah guna kuasa, penindasan, diskriminasi dan pelbagai masalah untuk rakyat.

Begitulah kata mereka. Elok kita menghela nafas seketika.

Dalam semua ayat-ayat di atas, ada tiga perkataan yang sentiasa berulang, iaitu “jika”, “mungkin” dan “akan”.

Perkataan “jika”, “mungkin” dan “akan” dalam maksud yang positif terkandung makna dalam janji, impian, harapan, dan matlamat.

Sebenarnya ada apa

Dalam maksud yang negatif pula ketiga-tiga perkataan itu membawa makna angan-angan, khayalan, bayangan, mimpi, mimpi buruk, dan mimpi ngeri.

Dalam kedua-dua maksud - positif dan negatif - paling nyata adalah ia menggambarkan apa yang tidak ada, tidak wujud dan tidak berlaku. Ia hanya bayangan saja. Ia seperti mimpi, sama ada di siang hari atau di malam kelam.

Jadi apa yang mereka kata hanyalah untuk menakut-nakutkan kita. Mereka mahu kita tunduk dan terima apa yang mereka kata.
Mengapa? Kerana perubahan bererti mereka akan hilang kuasa – kelebihan yang selama ini mereka sering salah gunakan untuk kepentingan diri, keluarga dan kawan-kawan.

Jadi apa yang sebenarnya yang ada, wujud dan berlaku hari ini?

Yang ada sebagai parti pemerintah di Malaysia ialah BN. Sejak sebelum merdeka hingga sekarang (1955 hingga 1974 ia dikenali sebagai Perikatan) hanya BN yang memerintah Malaysia.

Umno pula merupakan tulang belakang atau ayahanda kepada semua parti komponen BN. Mana-mana parti atau pemimpin yang melawan pucuk pimpinan Umno bererti gelaplah masa depan politik mereka.

Oleh kerana BN yang memerintah negara sejak lebih 60 tahun, ini bermakna apa yang baik dan buruk semuanya adalah hasil pentadbirannya.

Nafas perlu dihela

Yang baik dipuji, yang buruk dikeji. Jika kerajaan sanggup mendengar suara rakyat, ia memang boleh diperbaiki; jika kerajaan degil dan sombong, rakyat menderita.

Jika kita bangga kerana pembangunan fizikalnya, kerana kestabilannya (kerana takut dan enggan “buat hal”), kerana pemisahan kaum, kerana perbezaan antara bumiputera dan bukan bumiputera, kerana keutamaan di antara pro-BN dan anti-BN, kerana kesenjangan antara wilayah; maka kita perlu memuji “kejayaan” BN.

Jika kita marah kerana diskriminasi kaum dan agama, kerana masalah dan krisis ekonomi, kerana tekanan kos sara hidup, kerana kekangan kebebasan, demokrasi dan hak asasi, kerana berleluasanya korupsi, keangkuhan kuasa, salah guna kuasa, kerana memalukan kita di mata dunia; maka kita perlu mengubah pentadbiran BN kepada kerajaan HARAPAN.
Inilah yang ada pada hari ini. Ini bukan “jika”, “mungkin” atau “akan”. Ini sedang berlaku hari ini, sejak sekian lamanya. Di bawah pentadbiran BN, memang telah dan sedang berlaku korupsi, salah guna kuasa, penindasan, diskriminasi dan pelbagai masalah untuk rakyat.

Jadi, perlukah kita takut dengan momokan masa depan? Sedangkan di depan mata kita hari ini - detik ini, saat ini - kebobrokan, kepincangan dan ketempangan sedang berlaku.

Mereka kata hidup kita mungkin akan terseksa jika HARAPAN menang.

Bukankah sekarang kita sudah pun terseksa di bawah pentadbiran yang ada hari ini?

Baca: 'Saya nak debat Najib dan Hadi, bukan konco mereka'

Mereka kata masa depan kaum dan agama kita mungkin akan hancur jika HARAPAN menjadi kerajaan.

Bukankah sekarang pun masa depan kita bertambah gelap apabila mereka di puncak kuasa sentiasa mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama yang mereka sempitkan untuk kepentingan politik mereka?

Sekali lagi kita perlu menghela nafas.

Mereka boleh berkata apa sahaja. Mereka berkuasa, dan mereka tidak segan silu menelanjangkan keangkuhan kuasa mereka, dan tentunya mereka akan terus berkata-kata.

Persoalannya, perlukah kita mendengar, menerima dan menurut apa sahaja yang mereka kata?

* WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.

Sumber asal: Begitulah kata mereka. Elok kita menghela nafas seketika

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment