Semakin hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DAP semakin menunjukkan taringnya dalam Pakatan Harapan. Kali ini, Lim Guan Eng telah bertindak mengumumkan dua calon menteri kabinet sekiranya mereka menang dalam PRU14 kelak.
Kita sedia maklum bahawa untuk mengumumkan calon menteri kabinet merupakan salah satu bidang kuasa Perdana Menteri. Jadi Lim Guan Eng tidak layak sama sekali untuk mengumumkannya melainkan Lim Guan Eng telah mendapat mandat sebagai calon Perdana Menteri.
Yang menjadi persoalannya, bukankah Pakatan Harapan mempunyai calon Perdana Menteri yang tersendiri iaitu Tun Mahathir? Jadi siapa sebenarnya calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Tun Mahathir atau Lim Guan Eng?
Ataupun sebenarnya Tun Mahathir dijadikan sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan hanya semata-mata untuk mengaburi mata pengundi. Tetapi sebaliknya, Lim Guan Eng yang lebih berkuasa dalam Pakatan Harapan.
Keadaan ini, secara tidak langsung menggambarkan DAP adalah bos besar kepada pembangkang. Dalam masa yang sama juga, ia dapat menunjukkan dalam diam DAP tetap ingin bersaing dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan. Dan sentiasa ingin berada di depan berbanding parti yang lain.
Jika benar DAP mempunyai sikap saling toleransi dan hormat-menghormati sesama parti dalam Pakatan Harapan. Sudah tentu, Lim Guan Eng tidak akan membelakangkan keputusan parti-parti lain terutamanya Tun Mahathir dalam membuat keputusan untuk mengumumkan calon menteri kabinet.
Ini bermakna parti-parti dalam Pakatan Harapan tidak mempunyai sikap persefahaman yang kukuh, jauh sekali sikap kerjasama dalam satu pasukan. Saya juga percaya, parti-parti lain dalam Pakatan Harapan hanya menjadi pak turut kepada DAP untuk memastikan setiap agendanya akan tercapai.
Kesimpulannya, situasi ini jelas menunjukkan DAP merupakan sebuah parti yang paling berkuasa dalam Pakatan Harapan. Sekali gus mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju Pakatan Harapan pada masa hadapan.
Sumber asal: DAP akhirnya tunjuk siapa bos dalam pakatan pembangkang
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment