LUAHAN KETUA BAHAGIAN UMNO SHAH ALAM TENTANG SUARA RAKYAT PASCA PRU14

Posted by Kerah Lekung on Tuesday, 22 May 2018

LUAHAN KETUA BAHAGIAN UMNO SHAH ALAM TENTANG SUARA RAKYAT PASCA PRU14 .



SUARA RAKYAT...
Pilihan raya ke-14 tidak dinafikan antara pilihan raya yang boleh dibukukan dalam sejarah. Tumbangnya Barisan Nasional kerana Tsunami suara rakyat. Tetapi ramai mungkin tidak sedar bahawa UMNO masih lagi kuat dan utuh kerana jumlah kerusi yang dimenangi terpecah seperti berikut :
1) UMNO = 54
2) BERSATU = 13
3) PKR = 47
4) DAP = 42
5) PAN = 11
6) WARISAN = 8
7) PAS = 18
Suara rakyat yang rata-rata golongan muda tidak boleh menerima kerajaan yang dipimpin oleh DS Najib Razak. Bila kita tanyakan kepada golongan ini kenapa DS Najib Razak? Mereka akan katakan GST, minyak dan Rosmah. Tiga saja faktor ini yang membuatkan mereka pergi keluar mengundi. Bila kita bertanyakan tentang GST boleh saya katakan 70% mereka tidak dapat menjawab, bila saya bertanyakan tentang minyak 70% juga mereka tidak dapat menjawab tetapi bila bertanyakan Rosmah 100% mereka boleh menjawab.
Rakyat sebenarnya marah kepada DS Najib atas faktor isteri beliau. Kemarahan rakyat bukan tertumpu kepada UMNO dan BN tetapi lebih kepada individu. Oleh kerana itu PRU14 ini bukan lagi fokus kepada kehebatan calon-calon yang bertanding tetapi memang semata-mata logo dan bendera tanpa menghiraukan siapa saja calon di kawasan tersebut. Letak siapa saja yang bertanding mereka pasti akan menang (PH).
Perasaan dan emosi telah ditanam supaya menolak BN asalkan bukan lagi DS Najib. Ikhlas dan jujur saya katakan, keadaan ini amat tidak sihat malahan merbahayakan keadaan di kawasan masing-masing. Sebenarnya ramai juga calon BN yang lebih baik dari setiap sudut termasuk pendidikan, pengalaman, pencapaian dan kebolehan. Wakil Rakyat sebenarnya umpama CEO syarikat dimana rakyat memilih siapa yang akan dilantik untuk bekerja di syarikat (Parlimen & DUN) setiap kawasan . Sudah tentu kalau kita sendiri pengarah syarikat kita akan mengambil pekerja yang berpotensi untuk memajukan syarikat. Sama juga dalam konsep memilih pemimpin.
Akhirnya ramai calon-calon BN yang jauh lebih baik dari lawan masing-masing kalah dan ini akan merugikan kawasan tersebut kerana mereka memangkah undi melalui perasaan dan emosi dan bukan melalui akal dan hati. Ramai juga yang bersedih kerana kehilangan dan terkorban pemimpin tersayang dan ada juga yang menyesal disebabkan tidak memikir panjang impak hasil terlalu ingin fokus menjatuhkan individu bernama Najib Razak. Tetapi itu semua sudah terlambat.
Ya.Saya faham. Ada yang memaklumkan dengan cara ini saja boleh menumbangkan individu yang paling di atas iaitu DS Najib Razak. Balik pada pepatah Melayu "Marahkan seekor nyamuk, habis kelambu dibakar". Itu bukan cara yang sihat kerana kita tidak sedar bahawa isu-isu tempatan kawasan masing-masing lebih banyak untuk diselesaikan. Tetapi rakyat, lebih-lebih lagi yang berdarah muda telah ditanam dengan hanya cerita GST yang menjadikan kos hidup mereka terbeban. Isu agama, kesihatan, keselamatan, kemudahan dan pendidikan yang lebih baik ditolak hanya demi menumbangkan seorang individu.
Berjaya juga akhirnya Pakatan Harapan dengan taktik peralihan tumpuan kesalahan dalam sepanjang kempen mereka itupun dari bantuan Tun M. Bagi pendapat saya, suara rakyat sebenarnya perlu berlaku dari peringkat bawah dan mudah didengari oleh setiap kawasan terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah-masalah isu tempatan yang saya kira lebih penting bagi kesejahteraan dan keharmonian kawasan masing-masing. Permainan isu-isu negara yang belum kita pasti tepat dan benar tidak perlu kita lebih-lebihkan kerana boleh mengundang ke arah fitnah dan dosa.
Suara rakyat dan demokrasi ini merbahaya kalau tidak diimbangi sebaiknya. Jika sekiranya rakyat hanya menumpukan kepada isu nasional sahaja maka mereka tidak akan hirau sesiapa sahaja wakil rakyat mereka dilantik walaupun isu-isu tempatan mengalami masalah. Ini sebenarnya memang permainan strategi "peralihan tumpuan" PH dalam memenagi PRU14 kerena mereka akur calon-calon BN lebih ramai berpotensi dari mereka sehingga calon Menteri penuh pun susah untuk diutuskan. Mereka (PH) tidak menafikan bahawa kekurangan calon berwibawa untuk mentadbir negara.
Jujur saya maklumkan bagi golongan belia rata-rata yang menyokong PH adalah kerana trend terkini. Menjadi penyokong tanpa memahami misi dan visi. Menjadi penyokong tanpa kenal ahli tertinggi. Umpama menjadi penyokong Man City tetapi tidak tahu asal unsul pasukan dan mungkin tidak mengenali kesemua pemain tetapi menyokong atas dasar popular dan ikutan.
Akhir kata, jika mahu suara anda, suara rakyat dilandasan betul. Usah masuk dalam mana-mana parti politik dahulu. Kalau betul hendak menjadikan Malaysia negara aman dan damai Tanah Airku tercinta, cuba libatkan dalam persatuan penduduk atau JMB kawasan anda yang kecil dahulu. Kalau anda mampu mengubah tempat kawasan anda, InshAllah...anda mampu ubah daerah, seterusnya negeri dan barulah negara melalui sistem demokrasi yang betul. Jangan jadi masyarakat yang tidak ambil peduli tetapi bersorak secara tiba-tiba tanpa tahu apa erti perjuangan. Jangan jadi masyarakat yang tidak bercampur jiran tetapi bising seolah tahu masalah tempatan. Pilihlah wakil rakyat kawasan anda dahulu, yang tepat untuk mewakili kita kerana ianya lebih dekat. SUARA KITA, SUARA SETEMPAT. SUARA WAKIL, SUARA RAKYAT...
Sekian.
Wassalam...
-Azhari Shaari-

Sumber asal: LUAHAN KETUA BAHAGIAN UMNO SHAH ALAM TENTANG SUARA RAKYAT PASCA PRU14

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment