Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah bertitah supaya rakyat bijak memilih dengan memberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 9 Mei ini.
Baginda bertitah, amanah perlu diberikan kepada pihak yang ikhlas dan terbukti mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
“Semua pengundi perlu membuat penilaian yang tepat bagi memastikan masa rakyat dan negara sentiasa terjamin. Saya harap sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ini undilah dengan pemikiran yang matang dan waras, pilih dan berikan mandat kepada mereka yang terbukti memberi khidmat terbaik untuk keselesaan rakyat dan khidmat yang baik serta ikhlas.
“Tepuk dada tanya selera jangan salah makan, nanti sakit perut makanlah yang baik, undilah yang baik,” titah baginda ketika menyempurnakan majlis perasmian Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lanchang di Kampung Bongsu di sini hari ini.
Turut bercemar duli berangkat mengiringi baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tengku Abdullah bertitah, baginda menghargai segala usaha kerajaan pusat di bawah kepimpinan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob yang telah meletakkan asas kesejahteraan rakyat di atas landasan yang betul dan utuh.
“Ini dapat dilihat dengan pelbagai hasil dan nikmat yang dikecapi oleh rakyat termasuklah PPR Kampung Bongsu yang merupakan salah satu agenda pembangunan negara dalam mensejahterakan rakyat.
“Kerajaan Persekutuan telah membina 118 buah projek PPR yang menelan belanja RM6 bilion yang dapat dimanfaatkan oleh 83,000 keluarga dan di Pahang sahaja sebanyak 36 projek dibina yang menunjukkan tanggungjawab kerajaan mensejahterakan rakyat,”titah baginda.
Sumber asal: TENGKU ABDULLAH SERU RAKYAT PILIH KERAJAAN TERBAIK!!!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment