PUTRAJAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan protes di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak siasatan ke atas dakwaan rasuah oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika Datuk Seri Najib Razak sedang memberi keterangan kepada badan anti-rasuah itu.
Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah yang mengetuai lebih 30 penyokong mengadakan protes itu, mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Seri Shukri Abdull menyiasat 13 dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh Dr Mahathir.
Hari ini saya nak beritahu perdana menteri baru kita, ini bukan perdana menteri yang tak biasa kita jumpa.
Saya dan saudara (Datuk) Lokman (Noor Adam, bekas pengarah komunikasi strategik di Kementerian Kewangan) pernah bertempur dengan dia. Kita pernah lawan dia sebab apa kita lawan, sebab beliau adalah pemimpin yang zalim, korup.
“Dan hari ini kita bangkit kembali melawan pemimpin seperti Tun Dr Mahathir, kita nak bawa kepada SPRM 13 kes semuanya rasuah. Kita bukan nak pertahan Datuk Seri Najib Razak kerana beliau sedang disiasat, tapi hari ini kita minta SPRM siasat juga Tun Mahathir,” katanya ketika berucap di perkarangan Ibu Pejabat SPRM.
Azwanddin berkata, antara 13 dakwaan rasuah itu ialah memiliki RM100 juta dalam bentuk RM500 dan RM100, skandal Perwaja Steel Sdn Bhd, Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan urus niaga mata wang asing (forex).
Beliau mendakwa pemimpin PKR seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli pernah melaporkan kes itu.
Sementara itu, Lokman mencabar Shukri membuka semula siasatan ke atas Dr Mahathir bagi membuktikan ketelusan SPRM.
“Kita mendesak tindakan diambil ke atas Tun Mahathir. Kita harap kertas siasatan ke atasnya dibuka semula.”
Beliau turut mendesak Shukri menunjukkan bukti berhubung dakwaannya seorang “ahli Parlimen BN dari utara” cuba menyogoknya untuk menutup kes 1MDB, pada 2015.
“Saya buat laporan polis terhadap Shukri kerana dalam satu sidang media pada 22 Mei, beliau kata cuba disogok seorang wakil rakyat dari utara. Kita nak tahu siapa wakil rakyat itu. Kalau beliau disogok, kenapa tak tangkap?”
Beliau turut menyifatkan tindakan Shukri menyerang Najib dalam sidang media sama sebagai prejudis dan berat sebelah kerana bekas perdana menteri itu belum didakwa, sebaliknya masih dalam siasatan.
“Nampak sangat beliau dilantik sebagai ketua SPRM untuk membalas dendam.”
Sumber asal: JMM GESAK SPRM SIASAT 13 DAKWAAN SKANDAL RASUAH
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment