PRU14: BN mahu rampas kerusi Parlimen Bandar Tun Razak

Posted by Kerah Lekung on Tuesday, 13 March 2018

PRU14: BN mahu rampas kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.
KUALA LUMPUR:  Setelah sembilan tahun dikuasai pembangkang, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu jentera BN rampas semula kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau secara tegas, mahu jentera setiap parti komponen di kawasan parlimen berkenaan  bekerjasama bagi membolehkan kemenangan berpihak kepada BN.

“Sembilan tahun kita di dalam dakapan kesengsaraan, sembilan tahun kita dalam kepanasan, sembilan tahun kita dalam kehujanan, sembilan tahun kita di dalam penderitaan.

"Inilah masanya kita rampas semula kerusi Bandar Tun Razak dan hadiahkannya kepada BN,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Bandar Tun Razak di Laman Tun Razak di sini, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor;  Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, pemimpin komponen BN dan jentera parti.

Menyingkap sejarah penubuhan Bandar Tun Razak, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, kejayaannya dipacu oleh program urbanisasi diwujudkan kerajaan BN bagi membantu penduduk kampung mencari rezeki di kawasan pinggir bandar.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat kawasan itu supaya berterima kasih dan tidak sesekali lupa kemajuan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan selama ini.

“Cuba kita ingat, bila kita pandu kereta di hadapan, ada cermin untuk kita lihat, untuk ke kanan, belok atau terus. Cermin itu adalah sejarah penubuhan Bandar Tun Razak dan kawasan sekitar, ia adalah jasa Umno dan BN.

"Cukuplah  sembilan tahun, kenangan itu (berada di bawah pembangkang) harus dipadamkan sejarahnya kerana kita mahu membalas budi apa yang dilakukan Umno dan BN serta Kerajaan Malaysia kepada penduduk Bandar Tun Razak ini”, katanya. 

Sumber asal: PRU14: BN mahu rampas kerusi Parlimen Bandar Tun Razak

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment