Lelaki mati ditembak depan sekolah ahli Geng 08

Posted by Kerah Lekung on Monday, 5 March 2018

Lelaki mati ditembak depan sekolah ahli Geng 08.
SHAH ALAM: Lelaki yang mati ditembak di perhentian bas berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang, Serdang dekat sini Khamis lepas, merupakan anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08.

Ketua Polis Selangor Datuk Pahlawan Mazlan Mansor berkata siasatan awal turut menunjukkan kejadian itu mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah sekitar Serdang, membabitkan anggota kumpulan terbabit.

“Hasil siasatan menunjukkan mangsa dan juga suspek yang menembaknya, merupakan anggota kumpulan kongsi gelap itu yang mana mereka ini dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran.

“Bagaimanapun masih terlalu awal untuk kita rumuskan motif kejadian sebenar kes ini…kita akan siasat daripada pelbagai sudut dan motif sebenar akan kita ketahui selepas tangkapan dibuat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau latihan amal pilihan raya umum bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di hadapan bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, seorang daripada dua lelaki bermotor dikatakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa berusia 40-an yang sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah, mengakibatkan  mangsa terbunuh di lokasi kejadian.

Sumber asal: Lelaki mati ditembak depan sekolah ahli Geng 08

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment