SKANDAL TEROWONG : MENGAPA BAYAR KONSULTAN UNTUK KAWTIM DENGAN SPRM ??

Posted by Kerah Lekung on Friday 2 March 2018

SKANDAL TEROWONG : MENGAPA BAYAR KONSULTAN UNTUK KAWTIM DENGAN SPRM ?? .



KEPALA BATAS, 1 Mac – Projek pembinaan terowong dasar laut negeri Pulau Pinang terus-menerus dilanda kontroversi berkaitan rasuah apabila kini dikatakan syarikat yang mendapat kontrak untuk pembinaan terowong tersebut telah membayar RM19 juta kepada satu konsultan bagi perkhidmatan ‘consultancy service in regulatory compliance and risk management’ (perundingan untuk pematuhan peraturan dan pengurusan risiko) untuk memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup dan menghentikan siasatan yang sedang dijalankan .
Pengarah Strategik UMNO Kepala Batas, Azizi Safar berkata, apa yang menimbulkan tanda tanya adalah mengapa perlu membayar konsultan bagi perkhidmatan tersebut dan sebenarnya apakah yang dimaksudkan dengan perundingan untuk pematuhan peraturan dan pengurusan risiko ini.
“Selain itu, yang turut menjadi tanda tanya adalah apa kena mengena semua ini dengan kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci projek terowong ini?
“Jika segala urusan berhubung projek ini berjalan secara betul dan telus maka mengapa perkara sebegini harus timbul?,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Untuk rekod, projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.
Projek ini juga telah mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Baru-baru ini pula seorang ahli perniagaan direman enam hari kerana dipercayai menerima rasuah berjumlah RM19 juta bagi menutup kes projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.
Menurut sumber SPRM, suspek yang merupakan suami kepada seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan itu dipercayai menerima wang daripada syarikat pembinaan utama projek selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dilakukan SPRM.
Dakwa sumber lagi, pihak syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM19 juta itu secara berperingkat antara Julai dan Ogos tahun lalu.
Pada 11 Januari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng mengatakan tiada sebarang bayaran diberikan kepada pihak kontraktor dalam projek kontroversi terowong dasar laut RM6.34 bilion tetapi mungkin dia lupa iaitu pada 19 Mei 2017, Exco Pulau Pinang Lim Hock Seng ketika menjawab di dalam Sidang DUN berkata, RM209 juta sudah dibayar dalam bentuk tanah kepada kontraktor untuk kos laporan.
Pada 4 Mac 2013 pula, kerajaan Dap Pulau Pinang menafikan bahawa syarikat Konsortium Zenith BUCG yang dianugerahkan projek tersebut tidak bermodal – Untuk melaksanakan projek mega itu.
Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd adalah sebuah Special Purpose Vehicle (SPV) yang merupakan konsortium usahasama di antara syarikat kontraktor berpakaran dengan pemaju seperti berikut:-
Zenith Construction Sdn Bhd bersama China Railway Construction Corporation Ltd sebanyak 70% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 3.5 juta dan RM 4 bilion masing-masing; Beijing Urban Construction Group 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 541 juta; Sri Tinggi Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 3.7 juta; dan Juteras Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 1 juta.
Keseluruhan modal berbayar keempat-empat syarikat adalah RM4,549.2 juta yang memenuhi kriteria kerajaan negeri yang meletakkan modal berbayar minima RM381 juta. Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd mempunyai modal berbayar RM2 kerana ditubuhkan khas untuk ini (SPV).
Namun selepas empat tahun, SPV berkenaan masih belum melengkapkan laporan RM305 juta dan masih belum memulakan kerja pembinaan.
Laporan kebolehlaksanaan projek tersebut yang sepatutnya sudah siap masih tidak nampak bayang walaupun beratus-ratus juta telah dibayar kepada pihak kontraktor.
Kini, syarikat dari China, China Railway Construction Corporation Ltd. telah menarik diri dari projek ini dan ia diganti dengan syarikat fesyen bernama Voir, dengan saham sebanyak 13.21% turut terlibat di dalam konsortium baru ini. 38.9% sahamnya juga dimiliki di bawah nominasi yang dipegang oleh Kenanga Nominees.
Jumlah modal berbayar syarikat pemegang sahamnya sekarang berkurang menjadi RM70.5 juta berbanding RM4.5 bilion, 4 tahun lepas. *Jumlah ini juga adalah lebih rendah dari minima (RM 381 juta) jumlah modal yang telah ditetapkan sendiri oleh Kerajaan ke atas pembida-pembida semasa proses RFP.*RM70.5 juta nilai modal berbayar ini juga terlalu sedikit jika dibandingkan dengan jumlah RM220 juta yang telah dibayar oleh kerajaan Dap Pulau Pinang sebagai sebahagian bayaran untuk laporan RM305 juta. – MediaUMNO

Sumber asal: SKANDAL TEROWONG : MENGAPA BAYAR KONSULTAN UNTUK KAWTIM DENGAN SPRM ??

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment