Masyarakat orang asli dihasut kerana undi pilihanraya

Posted by Kerah Lekung on Sunday 11 March 2018

Masyarakat orang asli dihasut kerana undi pilihanraya.
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang semakin dekat menyaksikan pembangkang di Perak mencari peluang `menangguk di air keruh’ antaranya dengan menghasut masyarakat orang asli.

Dengan langkah begini mereka berharap masyarakat orang asli bangkit menentang kerajaan yang selama ini banyak membantu menjaga kebajikan dan nasib masa depan masyarakat itu.

Baru-baru ini lebih 200 masyarakat orang asli dari tujuh buah kampung membantah pembinaan projek hidro elektrik kecil Ulu Geruntum, Gopeng.

Kononnya projek itu bakal mengundang kejadian banjir, merosakkan tanah perkuburan nenek moyang  dan pokok tanaman mereka.

Penduduk yang membantah adalah dari orang Asli Kampung Ulu Kampar, Ulu Geruntum, Kampung Sat, Kampung Kejay, Kampung Res, Kampung Gamus dan Kampung Tidung, Sungkai.

Petang Rabu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan dan Pertanian negeri Datuk Saarani Mohamad tampil menjelaskan  projek itu tidak langsung menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli di Ulu Gerundum.   

Beliau menasihati masyarakat orang Asli supaya jangan terlalu mudah  terpengaruh dengan hasutan pembangkang.

``Saya menasihati masyarakat orang asli supaya tidak terlalu mudah untuk dipengarui mereka (pembangkang).. mereka ada tok batin dan JKKK…dapatlan nasihat yang baik daripada tok batin.’’ Katanya.

Saarani menegaskan, kerajaan negeri dan Persekutuan tidak sama sekali akan menganiaya masyarakat orang asli malahan sentiasa berusaha untuk membangunkan masyarakat itu dengan peruntukan yang besar.

``Percaya dan yakin  bahawa kerajaan negeri dan Persekutuan tidak sama sekali akan menganiaya masyarakat orang asli no…tidak ada dalam kepala kita langsung.

``Malahan kita cuba sedaya-upaya untuk membangunkan masyarakat orang asli dengan peruntukan yang besar .

``Kalau kita tengok di Sungai Siput dengan jalan yang cantiknya, RPS Kema dengan solarnya,  jalannya dan pencawang elekrtik… jadi itu bukti kerajaan sekali-kali tidak akan menganiaya masyarakat orang asli.

``Cuma pada waktu sama kita tahu kebanyakkan sungai ada dalam rizab hutan yang didiami masyarakat orang asli…so tanpa jejas kehidupan mereka kita nak tumpang air itu untuk membangunkan bekalan elektrik untuk rakyat Malaysia dan rakyat negeri Perak.’’ Katanya.

Kepada pembangkang yang selama ini tidak memberikan apa-apa perjuangan kepada masyarakat orang asli ini pula ini kata Saarani: ``Carilah cara lain untuk mendapat pengaruh politik…jangan menghasut orang Asli,’’.

Menyentuh isu tanah kubur nenek moyang orang asli di kawasan berkenaan, Saarani berkata, kerajaan akan membuat pagar di kawasan tanah perkuburan itu bagi mengelak diganggu.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri melihat tidak ada isu dalam projek berkenaan malah masyarakat orang asli telahpun bersetuju untuk menerima pampasan  berhubung penebangan pokok-pokok tanaman di kawasan yang terlibat.

Sumber asal: Masyarakat orang asli dihasut kerana undi pilihanraya

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment