MARYAM LEE JADI MANGSA BULI SIBER PAKATAN HARAPAN

Posted by Kerah Lekung on Friday, 2 February 2018

MARYAM LEE JADI MANGSA BULI SIBER PAKATAN HARAPAN.
Aktivis sosial yang menjalankan kempen #UndiRosak menjadi mangsa pembulian siber oleh mereka yang tidak bersetuju dengan kempen kontroversi tersebut.

Gelaran “pelacur”, “perempuan murahan” dan “tisu tandas” hanya sebahagian daripada kenyataan seksis mereka yang tidak berpuas hati di Facebook yang membabitkan aktivis Maryam Lee selepas dia dan beberapa orang lain bercakap di forum #UndiRosak pada 25 Januari lepas.

Selepas forum itu, seorang penyokong Pakatan Harapan bertindak memuat naik status di Facebook dan mendakwa bahawa Maryam telah diupah untuk mempromosikan kempen #UndiRosak sebagai usaha untuk membantu kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Kiriman statusnya itu memulakan serangan bertubi-tubi terhadap Maryam oleh penyokong pembangkang yang berang, sehingga ada yang bertindak melakukan superimpose wajahnya dengan gambar tidak senonoh.

Pada masa yang sama, sebuah portal gosip berbahasa Melayu menyerang Maryam dan panelis, aktivis Hafidz Baharom dengan artikel-artikel berunsur fitnah.

Terkejut dan marah, Maryam memuat naik video tentang komen-komen yang kesat yang diterimanya semalam (Selasa, 30 Januari) dengan mengatakan bahawa dia berasa sedih kerana menjadi mangsa buli siber hanya kerana ketidaksepakatan politik.

Bercakap kepada The Star, Maryam berkata ada juga yang menghantar mesej secara peribadi menghamburkan kata-kata kesat dan dia kini mula berasa takut keselamatannya terancam.

Dalam nada mengeluh, Maryam mengatakan bahawa serangan itu bersifat peribadi dan bukannya bertujuan untuk menentang kempen itu.

Maryam juga mengatakan dia diserang hanya kerana mewakili kaum wanita dan vokal menyuarakan pendapatnya.

“Masyarakat tidak biasa melihat wanita lantang bersuara. Apabila seorang wanita yang vokal muncul, mereka serta-merta menjadi sasaran mudah,” kata Maryam.

Wanita berusia 26 tahun itu berkata, sementara aktivis #UndiRosak yang lain juga diserang, dia menanggung beban itu hanya kerana dia seorang perempuan, muda dan belum berkahwin.

Menafikan tuduhan bahawa dia bekerja untuk Barisan, Maryam menegaskan bahawa #UndiRosak bukan sebahagian daripada sebarang bentuk propaganda.

Katanya, ramai penyokong #UndiRosak, termasuk dirinya, merupakan penyokong pembangkang dan selama bertahun-tahun telah menjadi sukarelawan dan mengambil bahagian dalam perhimpunan seperti Bersih dan lain-lain.

Bagaimanapun, mereka merasakan bahawa Pakatan telah meninggalkan prinsip-prinsip yang pernah dipertahankannya.

“Untuk mengatakan penyokong #UndiRosak – terutama sekali anak-anak muda – jahil politik, adalah tidak benar.

“Kami telah terlibat dengan kempen gabungan Pembangkang dan kami telah melihat bagaimana parti itu telah banyak berubah,” katanya.

Maryam berpendapat bahawa pembulian siber itu berlaku kerana penyokong pembangkang menggunakan #UndiRosak sebagai penyebab sokongan terhadap Pakatan semakin berkurangan.

“#UndiRosak digunakan sebagai kambing hitam sekiranya Pakatan kalah dalam PRU14.

“Terdapat sebab-sebab yang lebih besar mengapa dan Undi Rosak bukan penebabnya,” katanya.

Maryam berkata pemimpin Pakatan Harapan hanya berdiam diri – bukan hanya mengenai pembulian siber yang dihadapinya, tetapi juga mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh kempen Undi Rosak.

“Saya mengambil langkah buat masa sekarang tetapi saya tidak menarik diri daripada ruang awam sepenuhnya,” katanya lagi.

Maryam bagaimanapun masih belum membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Sumber asal: MARYAM LEE JADI MANGSA BULI SIBER PAKATAN HARAPAN

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment